Wanita maut tersepit dalam nahas dua kenderaan

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan dua kereta di Jalan Masai-Kong Kong, Pasir Gudang, pada malam Isnin. - Foto ihsan Bomba Johor
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan dua kereta di Jalan Masai-Kong Kong, Pasir Gudang, pada malam Isnin. - Foto ihsan Bomba Johor
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang maut manakala seorang lagi cedera tercampak keluar dari kereta selepas terlibat kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Masai-Kong Kong di sini pada malam Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Dr Mohd Roslan Mohd Tahir berkata, kemalangan pada jam 9.45 malam itu melibatkan kereta Perodua Axia dan Proton Waja.

"Kemalangan berlaku semasa Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun dari Kong Kong ke Masai telah hilang kawalan telah memasuki arah bertentangan.

"Perodua Axia tersebut kemudian bertembung secara berhadapan dengan Proton Waja tersebut yang sedang memandu di lorong sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, penumpang Perodua Axia meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Katanya, seorang lelaki iaitu pemandu Proton Waja pula tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan.

Menurut Mohd Roslan, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Sharol Suboh berkata, seramai 10 anggota dari BBP Pasir Gudang dan BBP Johor Jaya dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.