Belanjawan 2020: Eksport kasar dijangka berkembang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keseluruhan eksport kasar Malaysia dijangka berkembang 1 peratus pada 2020 berikutan jangkaan penambahbaikan aktiviti perdagangan global dan peningkatan dalam kitaran elektrik dan elektronik (E&E).

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, susulan itu, eksport barangan pembuatan dijangka meningkat 0.9 peratus dengan eksport E&E berkembang 0.8 peratus.

"Sementara itu, eksport produk bukan E&E pula diunjurkan berkembang 1.1 peratus susulan permintaan lebih tinggi untuk kimia dan produk kimia; jentera, kelengkapan dan peralatan; barangan perkilangan logam; dan produk petroleum.

"Eksport pertanian diunjurkan meningkat secara sederhana sebanyak 0.7 peratus pada 2020 dipacu oleh permintaan minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli," kata laporan itu.

Menurutnya lagi, pendapatan eksport barangan perlombongan juga dijangka meningkat 1.3 peratus disokong oleh penghantaran gas asli cecair (LNG) yang bertambah baik berikutan permintaan lebih tinggi daripada pasaran utama.

"Eksport petroleum mentah diunjurkan menyederhana disebabkan ketidaktentuan dalam persekitaran luaran antaranya penurunan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC; pengeluaran minyak syal oleh Amerika Syarikat (AS); serta ketegangan perdagangan antara AS dan China.

"Pertumbuhan eksport kasar dianggar meningkat secara marginal sebanyak 0.1 peratus pada 2019," kata laporan itu.

Katanya, eksport barangan pembuatan yang merangkumi sekitar 84 peratus daripada jumlah eksport diunjurkan meningkat 0.7 peratus didorong kenaikan eksport produk bukan E&E dan E&E.

Artikel Berkaitan:

"Eksport bukan E&E dijangka meningkat meskipun pada kadar perlahan 0.7 peratus dengan disumbangkan oleh kimia dan produk kimia; barangan optik dan saintifik; serta produk besi dan keluli.

"Terimaan produk E&E juga dijangka berkembang sederhana sebanyak 0.6 peratus berikutan penurunan kitaran semikonduktor global.

"Permintaan berterusan bagi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli dijangka menyumbang kepada pemulihan eksport barangan pertanian sebanyak 0.2 peratus," menurut laporan itu.

Tambahnya, eksport minyak sawit diunjurkan berkembang 1.0 peratus berikutan perjanjian Projek Laluan Rel Pantai Timur dengan China.

"Bagaimanapun, eksport minyak sawit ke India dijangka terjejas disebabkan semakan semula duti import ke atas minyak sawit diproses dari Malaysia yang meningkat kepada 50 peratus bagi tempoh enam bulan berkuat kuasa September 2019.

"Terimaan hasil getah asli dijangka menyederhana 0.2 peratus berikutan pematuhan perjanjian Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia dan Thailand, untuk mengurangkan eksport antara April dan Julai 2019," menurut laporan itu.

Sementara itu, katanya, pendapatan eksport barangan perlombongan diunjurkan merosot 2.8 peratus disebabkan pengurangan dalam penghantaran petroleum mentah (19.6 peratus) berikutan penutupan sementara beberapa medan minyak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Bagaimanapun, penghantaran LNG disasarkan meningkat dengan ketara sebanyak tujuh peratus didorong permintaan berterusan daripada pasaran utama khususnya China, Jepun dan Korea Selatan.

"Import kasar dianggarkan kembali pulih 2.7 peratus pada 2020 sejajar dengan kenaikan import barangan pengantara, modal dan penggunaan," katanya.

Menurut laporan itu, import barangan pengantara yang merangkumi sekitar 55 peratus dijangka meningkat 3.9 peratus didorong pengembangan sektor pembuatan terutamanya produk E&E serta petroleum, kimia, getah dan plastik.

"Import kasar dijangka merosot 2.5 peratus pada 2019 disebabkan penguncupan barangan modal (9.3 peratus) selaras dengan aktiviti pelaburan lebih rendah.

Sementara itu, import barangan pengantara dan barangan penggunaan diunjur meningkat 2.5 peratus dan 2.4 peratus berikutan permintaan berterusan daripada industri dan isi rumah, kata laporan itu. -Bernama