Pasaran buruh kekal stabil

Pasaran buruh dijangka terus stabil pada tahun depan dengan kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus.
Pasaran buruh dijangka terus stabil pada tahun depan dengan kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasaran buruh dijangka terus stabil pada tahun depan dengan kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus yang disokong oleh pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan baharu dalam ekonomi.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, jumlah yang bekerja dijangka meningkat kepada 15.3 juta pada 2020 berbanding 15.1 juta pada 2019 dengan sektor perkhidmatan seramai 9.5 juta atau 62.1 peratus, sektor pembuatan (16.2 peratus) dan 12.2 peratus dalam sektor pertanian.

Selain itu, kerajaan terus melaksanakan inisiatif untuk mengurangkan lagi kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

"Justeru, kadar levi lanjutan baharu telah dilaksanakan pada 2 Januari 2019 ke atas pekerja asing yang telah berkhidmat selama 10 tahun atau lebih dalam sektor pertanian dan perladangan.

"Usaha ini dijangka membolehkan sektor tersebut meningkatkan rantaian nilai di samping mengekalkan nisbah pekerja asing berkemahiran rendah di bawah 15 peratus daripada jumlah guna tenaga," menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyatakan, pada separuh pertama 2019, kekosongan pekerjaan berkurang 6.9 peratus kepada 512,504, manakala bilangan pencari kerja aktif pula berkurang 1.4 peratus kepada 237,600 dengan 3.7 peratus merupakan pendaftar baharu.

Bilangan pekerja yang diberhentikan pula kekal rendah iaitu 20,521 atau 0.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja selaras dengan keadaan pasaran buruh yang menggalakkan.

Dalam pada itu, bilangan ekspatriat meningkat 12.1 peratus kepada 122,192 yang majoritinya terdiri daripada warga India (22.7 peratus), diikuti China (20.2 peratus) dan Jepun (6.9 peratus) yang bekerja dalam sektor perkhidmatan, teknologi maklumat dan pembuatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: