Nelayan Vietnam guna renjatan elektrik tangkap ikan ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MERSING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga Vietnam selepas didapati menangkap ikan dengan menggunakan kaedah renjatan elektrik di perairan Pulau Tokong Burung di Kuala Rompin, Pahang.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Mersing Komander Maritim, Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya berjaya mengesan bot yang yang berada pada kedudukan tiga batu nautika Timur Laut perairan itu dalam Ops Jaksa kira-kira 11.15 pagi pada Selasa lepas hasil maklumat risikan dan aduan orang ramai.

Beliau berkata, bot dalam dalam keadaan mencurigakan itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati kru bot berkenaan gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah dan tidak mematuhi syarat sah lesen iaitu alat perenjat elektrik.

"Kita dapati bot berkenaan kerap melakukan kegiatan menangkap ikan terumbu di sekitar pulau perairan Pahang dan Johor melalui pemeriksaan 'GPS' (Sistem Penentu Kedudukan Global) menggunakan modus operandi merenjat ikan di sekitar 0.5 hingga dua batu nautika pada waktu malam sehingga subuh.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, tekong tersebut juga cuba memberi sogokan berjumlah RM600 bagi mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka," katanya pada sidang media di APMM Mersing di sini hari ini.

Haris Fadzillah berkata, seramai enam awak-awak dan seorang tekong yang kesemuanya warga Vietnam berusia dalam lingkungan 27 hingga 48 tahun turut ditahan dan diserahkan kepada APMM Pos Tanjung Gemok dekat sini untuk siasatan lanjut.

"Turut dirampas peralatan yang digunakan untuk merenjat ikan yang disembunyikan di bahagian ruang rahsia di geladak belakang bot dan ketika anggota memeriksa bahagian enjin bot tersebut mesin pemampat dan tong gas oksigen untuk menyelam turut dijumpai," katanya.

Beliau berkata, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat lesen, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel Berkaitan:

"Kaedah merenjat ikan menggunakan elektrik boleh mengancam hidupan marin hingga mengganggu ekosistemnya dan mengakibatkan kepelbagaian biodiversiti di lokasi berkenaan akan berkurangan.

"APMM akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Mersing selain menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam," katanya. - Bernama