Rumput napier jana pendapatan

Azman (tengah) menjelaskan sesuatu kepada Shahemi (dua, kanan).
Azman (tengah) menjelaskan sesuatu kepada Shahemi (dua, kanan).
A
A
A

KULIM - Seorang anak muda mengusahakan perniagaan rumput napier setelah menyedari bekalan makanan ternakan ruminan itu kurang di pasaran.

Usahawan, Shahemi Mohd Radzi, 31, berkata, dia mula mengusahakan ladang rumput napier sejak dua tahun lalu dengan dibantu dua pekerja.

Menurutnya, usaha itu dapat membantu penternak mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi di samping mengurangkan kos makanan ternakan ruminan.

"Keluasan keseluruhan ladang ini ialah 7.1 hektar. Sekarang ini kita telah buka seluas tiga hektar untuk tanaman rumput napier dan keluasan 4.3 hektar ditanam jagung.

"Jadi kita berhasrat untuk tingkatkan lagi keluasan penanaman rumput napier di negeri ini," katanya ketika ditemui di ladang rumput napier, Kampung Bikan.

Terdahulu, Shahemi menerima kunjungan Exco Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Asas Tani, Azman Nasrudin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah, Dr Shaharul Akmar Talib.

Shahemi berkata, ladang itu sebelum ini ialah kawasan ternakan lembu dan benih getah sebelum diambil alih syarikatnya.

Artikel Berkaitan:

"Dari situ, saya ambil alih untuk usahakan ladang rumput napier," katanya.

Dia yang juga graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang Ijazah Pengurusan Awam berkata, rumput napeir mengurangkan kos penternak.

"Kos rumput napier sangat rendah dan kedua ia mempunyai protein yang stabil untuk keperluan ternakan seperti kambing dan lembu.

"Kapasiti satu beg (25 kilogram) kita jual RM10 sahaja berbanding harga dedak yang lebih tinggi," katanya.

Tambahnya, pendapatan secara kasar dapat mencecah sebulan RM10,000 hingga RM15,000 sebulan.

"Di utara setakat ini rumput ini dijual di sekitar Kedah selatan dan Pulau Pinang. Dalam masa sama, kita juga sedang pohon tanah kerajaan negeri untuk dimajukan sebagai kawasan pertanian.

"Kami dalam satu kumpulan belia muda untuk melatih golongan muda bahawa agro pertanian boleh dijadikan satu kerjaya dan menjana pendapatan sangat lumayan," katanya.

Sementara itu, Azman berkata, kerajaan negeri akan melihat tanah-tanah yang sesuai bagi membantu usahawan berkenaan meningkatkan lagi hasil pengeluaran rumput napier.

"Untuk tanam rumput ini memerlukan kawasan yang luas. Permintaan cukup tinggi. Bila ada kesungguhan kita kena bantu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang berusaha menurunkan harga ternakan ruminan dengan mengembalikan makanan semula jadi sebagai makanan asal.

"Dedak kosnya tinggi, dedak import dan sebagainya memang mahal sebab itu harga lembu juga tinggi.

"Sasaran kita janganlah harga daging itu mahal sangat. Bila makan rumput atau jagung kosnya tidaklah meningkat sangat. Hari ini kita jual daging lembu RM34, RM35 sekilogram. Jika boleh rendah lagi pada harga itu.

Manakala, Shaharul berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah sedang membuka permohonan kepada mereka berminat untuk memohon 20 lembu untuk diternak.

"Mereka boleh cuba memohon di mana penternak hanya perlu membayar 10 peratus daripada jumlah 20 lembu itu.

"Permohonan dibuka sebulan bermula 1 Januari . Mereka berminat boleh ke jabatan veterinar terdekat atau ibu pejabat di Alor Setar," katanya.