Polis lengkapkan siasatan kes inspektor lepas tembakan

Laporan Sinar Online sebelum ini. Gambar kanan: Laporan Sinar Online sebelum ini.
A
A

IPOH - Polis sedang melengkapkan siasatan berhubung kes seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan kerana melepaskan tembakan dalam satu pertengkaran dengan tunangnya di Taman Merdeka di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri dalam tempoh terdekat untuk tindakan lanjut.

“Kes ini telah 80 peratus siap dan dijangka Isnin depan, kita akan rujuk ke Pengarah Pendakwaan Negeri.

“Sekiranya masih perlu lengkapkan lagi, kita ambil semula (kertas siasatan) untuk teruskan tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, pegawai lelaki berusia 29 tahun itu kini direman sehingga Ahad ini dan disiasat mengikut 307 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian jam 6.30 petang Ahad lalu, pegawai dari unit Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta itu datang ke rumah tunangnya lalu berlaku perkelahian dan pergelutan hingga dia melepaskan satu das tembakan yang mengenai anjing.

ARTIKEL BERKAITAN: Bergaduh dengan tunang, inspektor lepaskan tembakan