Arahan saringan merokok ke atas lelaki bukan seksis: KKM

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye menjawab pertanyaan media ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye menjawab pertanyaan media ketika menghadiri Persidangan Dewan Negara di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan program saringan merokok di ibu pejabat kementerian itu yang meminta semua kakitangan lelaki menyertainya bersifat seksis.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, arahan pelaksanaan saringan hanya dikuatkuasakan terhadap kakitangan lelaki atas faktor majoriti perokok di Malaysia adalah lelaki.

"Ibu pejabat Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan program gaya hidup sihat pada bulan ini untuk mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangan.

"Jadi, pada program ini juga kami sebenarnya sedang mengenal pasti kakitangan yang merokok dan kami bersedia membantu mereka mengurangkan atau berhenti merokok sekiranya mampu," katanya kepada media di lobi Parlimen semalam.

Menurutnya, berdasarkan statistik yang diperoleh, didapati majoriti perokok di Malaysia adalah lelaki.

"Kita melihat dari sudut ratio seorang perokok dalam kalangan empat lelaki, atas sebab itu kita fokus pemeriksaan terhadap kakitangan lelaki dan tiada unsur seksis mengenainya.

"Sekiranya ada kakitangan wanita yang didapati merokok, pihak kami berpendapat mereka akan dibantu oleh rakan kerja mereka," katanya.

Boon Chye berkata, program saringan pemeriksaan dilaksanakan lebih bersasar dan menumpukan kepada mereka yang berisiko terjejas akibat amalan merokok.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, mereka yang menjalani saringan tidak akan diambil tindakan tatatertib, sebaliknya hanya diberi nasihat supaya mengubah kepada cara hidup sihat.

"Pastinya kita akan mengajak mereka menyertai program gaya hidup sihat dianjurkan, namun sekiranya mereka enggan maka kita tidak boleh paksa, " katanya.

Semalam, tular satu edaran pekeliling yang dikeluarkan ibu pejabat Kementerian Kesihatan menganjurkan satu program saringan merokok terhadap semua kakitangannya.

Edaran pekeliling itu turut meminta semua kakitangan lelaki menghadiri program saringan itu pada waktu dan lokasi ditetapkan.