Belanjawan 2020: Kelantan harap Persekutuan laksana lima projek mega

Belanjawan 2020
A
A

KOTA BHARU - Kelantan berharap kerajaan Persekutuan tidak lupa untuk melaksanakan lima projek mega di negeri ini sebagaimana dijanjikan sebelum ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya berharap impian rakyat Kelantan untuk memperoleh manfaat daripada kelima-lima projek itu dapat direalisasikan tahun depan.

"Kita berharap apa yang diumumkan kerajaan sebelum ini akan dijalankan dan semua dana yang diperlukan masuk dalam pembentangan Bajet 2020 Jumaat ini.

"Ia merupakan harapan besar rakyat negeri ini. Menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, projek lebuh raya dan sebagainya. Semoga semuanya termasuk dalam Belanjawan 2020. Harap ia tidak dilupakan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Kelantan bakal mendapat limpahan pembangunan apabila lima projek utama akan diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan untuk disiapkan dalam tempoh terdekat.

Lima projek tersebut adalah Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri juga berharap janji untuk menunaikan pembayaran royalti negeri ini dapat dikotakan.

"Kita harap juga pembayaran royalti dilaksanakan sebaik mungkin. Ia bukan termasuk dalam Belanjawan 2020, tapi kita juga harap ia dipertimbangkan.

"Dapat RM500 hingga RM700 juta setahun pun sudah banyak perkara yang kita boleh buat. Kita harap kerajaan boleh percepatkan pembayarannya," katanya.