Ini politik bangang, kata Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal kenyataan gurauannya bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu sesi sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana Ahad lalu sebagai 'memaki' Pengerusi Pakatan Harapan (PH) diputarbelitkan oleh segelintir pihak.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, situasi antara beliau dengan Dr Mahathir yang tular dalam media sosial sejak kebelakangan ini adalah jelas semata-mata bergurau demi menaikkan semangat maruah Melayu.

Menurutnya, isu dakwaan kononnya beliau memaki Dr Mahathir dianggap politik bangang dimainkan segelintir pihak.

"Itu semua dipanggil politik bangang, jelas itu saya bergurau dengan PM (Dr Mahathir) dengan (Presiden Amanah) Mat Sabu demi menaikkan semangat maruah (Melayu)...ini semua picisan, " katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam Setiausaha Akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah menggesa semua pihak agar tidak melaga-lagakan Anwar dengan Dr Mahathir.

Merujuk kepada perkembangan terkini semasa sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Tunku Nashrul berkata, Anwar tidak menyebut perkataan ‘barua’ namun menjelaskan bosnya menyebut perkataan ‘maruah’ ketika menyebut mengenai Kongres Maruah Melayu yang diadakan Ahad lalu.

Dalam video berkenaan Anwar berkata kepada Dr Mahathir secara bergurau yang beliau semakin bertenaga sebaik memberikan ucapan di Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Tertutup Melawati Shah Alam.

Anwar berkata, 'sejak balik daripada Kongres Maruah ini (Tun Dr Mahathir) lain macam'.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata demikian sambil diperhatikan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Sebelum ini Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat kenyataan mempersoalkan tindakan Anwar yang didakwanya menyebut ‘Kongres Barua’ yang merujuk kepada Kongres Maruah Melayu.

Khairuddin berkata, ‘Saya yakin perkataan ‘Kongres Barua’ yang dilontarkan oleh Anwar itu merujuk kepada Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan baru-baru ini.

“Mungkin Anwar kecewa kerana tidak dijemput pada peringkat awal cuma mendapat jemputan di saat-saat akhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.