Banyak lagi tempat untuk perokok lepaskan asap

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengusaha restoran di sekitar ibu kota menyambut baik penguatkuasaan larangan merokok di premis mereka yang disifatkan sebagai satu inisiatif kerajaan untuk mengurangkan gejala merokok dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut pengusaha sebuah restoran di sini yang mahu dikenali sebagai Mustapha berkata, perokok perlu faham bahawa larangan itu hanya tertakluk di dalam premis makanan, selain kawasan itu perokok mempunyai akses yang lebih banyak untuk 'melepaskan asap'.

"Saya fikir penguatkuasaan itu satu langkah yang wajar , ia juga membolehkan premis makanan mesra kanak-kanak.

"Perokok boleh hisap rokok di kawasan lain, lagipun sebenarnya mereka boleh hisap diluar kawasan premis makanan," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu semua premis makanan di negara ini diwartakan sebagai tempat larangan merokok berkuatkuasa 12 tengah malam tadi, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau(Pindaan) 2018.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan pewartaan itu dilaksanakan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004).

Katanya, larangan itu bertujuan melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok.

Sebelum ini Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peraturan baharu itu juga menetapkan pengusaha dan pemilik kedai makan serta restoran perlu menaikkan tanda larangan merokok selain tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bilik khas merokok dan bekas membuang puntung rokok.

Peraturan larangan merokok itu diwarta mengikut Peraturan 11, PPKHT 2004 yang mana mereka melanggarnya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.