X

Kindly register in order to view this article
!

Diskaun bayaran premium insurans kepada pemandu berhemah

Anthony Loke Siew Fook - Foto Bernama
A
A

SEPANG - [DIKEMASKINI] Pemberian diskaun bayaran premium insurans kenderaan kepada pemandu berhemah akan dilaksanakan Januari tahun hadapan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

"Melalui inisiatif itu pemandu yang tidak pernah memiliki rekod melakukan kesalahan jalan raya akan diberikan ganjaran seperti pengurangan premium insurans atau tambahan diskaun ke atas NCD yang tidak mempunyai tuntutan kemalangan," katanya.

Beliau berkata, proses mengemaskini perkongsian maklumat pemandu daripada rekod sistem Mysikap milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini di peringkat akhir.

Beliau berkata, perbincangan bersama Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) juga telah dilakukan yang turut bersetuju langkah tersebut dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya.

"Semua mekanisme diperlukan bagi menikmati pemberian diskaun itu sudah di peringkat akhir penyediaan dan akan diumumkan hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) ke-60 di sini hari ini.

Dalam pada itu Anthony berkata, kementeriannya akan mengawal selia perkhidmatan van sekolah tidak berlesen dengan pengenalan satu peraturan khusus berdasarkan kerangka yang disediakan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan JPJ.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses menentukan mekanisme pelaksanaan peraturan itu yang mana antara kaedah yang mungkin dipertimbangkan ialah seperti pendekatan kementerian dalam mengawal selia pemandu e-hailing.

"Peraturan perlu praktikal kerana kerajaan sedar ramai ibu bapa memerlukan perkhidmatan itu terutamanya di kawasan luar bandar yang kekurangan bas sekolah berlesen untuk membawa pelajar ke sekolah,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa peraturan itu hanya terpakai bagi van sekolah dan bukannya kereta persendirian yang ada kalanya menumpangkan anak-anak jiran ke sekolah.

Semalam sebuah akhbar melaporkan terdapat lebih 50,000 van, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta beroperasi secara haram mengangkut murid serta kanak-kanak kelas prasekolah di seluruh negara walaupun isu mengenainya telah kerap kali didedahkan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!