PBB kehabisan sumber wang

Antonio Guterres
Antonio Guterres
A
A
A

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres semalam mendedahkan badan antarabangsa itu sedang mengalami defisit AS$230 juta (RM964 juta) dan ia dijangka kehabisan sumber wang pada akhir bulan ini.

Menerusi surat yang dihantar kepada 37,000 kakitangan mereka, Guterres berkata, langkah penangguhan tambahan perlu diambil untuk memastikan gaji dan hak mereka dibayar.

"Negara anggota hanya membayar 70 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diperlukan untuk bajet operasi biasa pada 2019. Keadaan itu menyebabkan kekurangan wang tunai sebanyak AS$230 juta (RM964 juta) dan simpanan sokongan dijangka berkurangan menjelang akhir bulan lalu," jelasnya.

Bagi mengurangkan kos, Guterres turut menyebut tentang langkah menangguhkan persidangan dan mesyuarat serta mengurangkan perkhidmatan.

Selain itu, PBB juga terpaksa menyekat perjalanan rasmi yang hanya untuk kegiatan penting.

"Sumber kewangan kami terletak pada tanggungjawab negara anggota," ujarnya lagi.

Sementara itu seorang pegawai agensi itu memberitahu, Guterres ada meminta sumbangan negara anggota bagi menangani masalah aliran tunai tersebut pada awal tahun lalu namun mereka enggan berbuat demikian.

Difahamkan bajet itu tidak termasuk dana untuk misi pengaman dan anggaran bajet operasi PBB pada 2018-2019 adalah hampir AS$5.4 bilion (RM) yang mana Amerika Syarikat membuat sumbangan sebanyak 22 peratus. - Agensi

Artikel Berkaitan: