Ada orang tanya letak 'dadah' ke dalam karipap?

Gerai yang dikenali dengan nama 'Mutiara Karipap'amat dikenali kerana saiz karipap yang besar dan menyediakan hampir 21 jenis inti karipap terdiri daripada ayam, daging, telur, ketam dan udang. - Bernama
A
A

GEORGE TOWN - Bermula dengan hanya menjual tiga jenis karipap siapa sangka perniagaan Mutiara Karipap yang diusahakan sepasang suami isteri sejak tahun 2003 terus menjadi pilihan dan kesukaan bukan sahaja masyarakat tempatan malah pelancong luar negara.

Lebih menarik karipap itu juga digemari oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum di negeri ini dan apabila berkunjung ke gerai yang terletak di Jalan Larut di sini orang ramai boleh melihat pemandangan di mana tiga bangsa Melayu, Cina dan India beratur hanya untuk membeli karipap.

Faisal Hashim, 45, berkata, pada mulanya beliau dan isterinya, Norazlin Sulaiman Phuah, 45, hanya menjual karipap berintikan ubi kentang, ayam dan sardin di Astaka Jalan Kurau di Chai Leng Park, Perai.

"Masa mula-mula meniaga dulu kami hanya dapat menjual dalam 10 biji karipap sahaja sehari. Bagaimanapun jumlah jualan semakin meningkat sehinggalah sekarang ni dalam sehari kami boleh jual antara 800 ke 1,000 biji sehari. Kami sekarang ada 21 jenis inti karipap antaranya ubi kentang, ayam, sardin, telur, ketam, udang, sotong, daging kambing, daging rusa serta oblong ayam dan daging.

"Inti karipap yang pelbagai ini adalah hasil daripada idea pelanggan yang mencadangkan kepada kami dan ada juga yang kami sendiri cuba dan olah resipi mengikut kreativiti kami. Selepas ini kami bercadang untuk memperkenalkan karipap inti keladi, labu, daging burung unta, perut dan telur sotong kepada pelanggan," katanya kepada Bernama.

Faisal berkata, beliau membuka satu lagi cawangan di bahagian pulau pada tahun 2008 atas permintaan pelanggannya memandangkan kebanyakan daripada mereka datang dari bahagian pulau.

Menurutnya, beliau mendapat tapak membuka gerai di Jalan Larut di sini yang terletak bersebelahan Seng Huat Cafe kerana mengenali tuan kedai itu bagaimanapun katanya beliau akan berpindah ke lokasi lain yang dijangka pada tahun depan.

"Lokasi di sini sangat strategik kerana berdekatan dengan hotel dan premis perniagaan sebab itu ramai pelancong datang ke gerai saya. Selepas kali pertama mereka mencuba karipap saya pasti akan datang kembali keesokan harinya.

“Sebelum ini ada seorang warga China tujuh hari berturut-turut datang ke gerai saya beli karipap. Sehinggakan dia bertanya adakah saya letak 'dadah' dalam karipap ini sebab dia sangat suka," katanya.

Gerai yang terletak di Jalan Larut di sini diusahakan oleh Faisal Hashim,45, dan isterinya Norazlin Sulaiman Phuah,45, sejak tahun 2003 dan digemari semua lapisan masyarakat termasuk kaum Cina dan India. - Bernama
Gerai yang terletak di Jalan Larut di sini diusahakan oleh Faisal Hashim,45, dan isterinya Norazlin Sulaiman Phuah,45, sejak tahun 2003 dan digemari semua lapisan masyarakat termasuk kaum Cina dan India. - Bernama

Ditanya apakah resipi rahsia karipapnya menjadi pilihan orang ramai, Faisal berkata, ia mungkin disebabkan saiznya yang berbeza dengan saiz karipap biasa yang dijual di pasaran iaitu sebesar tapak tangan dan harganya yang murah selain pilihan inti yang pelbagai.

Selain itu katanya pengguna akan menikmati karipap panas kerana ia dibuat berdasarkan tempahan pelanggan dan digoreng di depan pelanggan.

Tambahnya, karipap dijual antara RM1 hingga RM3 mengikut inti yang dipilih dan pihaknya turut menerima tempahan untuk jamuan, kenduri kahwin, mesyuarat dan karipap sejuk beku.

Sementara itu seorang kontraktor yang juga pelanggan tetap Mutiara Karipap, Choo Hin Looi, 55, berkata, beliau memang sudah lama membeli karipap itu sejak lima tahun lepas lagi dan karipap itu sentiasa menjadi pilihannya serta keluarga.

Beliau berkata, Mutiara Karipap bukan sahaja murah dan sedap malah penjualnya sangat peramah dan tidak sombong.

"Mutiara Karipap ini rasanya rangup menepati citarasa saya sekeluarga. Saya selalu beli sini untuk keluarga dan kawan-kawan, mereka pun suka. Selain itu, saya juga ada buat tempahan karipap untuk program kebajikan. Karipap yang paling suka ialah karipap 'all-in' yang mana semua inti diletakkan dalam satu karipap," katanya yang tinggal di Gelugor.

Bagi G Savieneshwan, 20, pula beliau tidak kisah untuk membeli makanan di gerai Melayu asalkan makanan itu sedap.

Beliau yang 'jatuh cinta' dengan Mutiara Karipap selepas kali pertama mencubanya berikutan gerai itu berdekatan dengan kedai beliau bekerja dan beliau sangat menggemari karipap inti kerang.

Seorang kakitangan kerajaan, Hartini Mat Kasa, 42, berkata, kebiasaannya beliau akan membuat tempahan menerusi telefon untuk mengelak daripada menunggu lama dan beratur panjang. - Bernama