Pas terkejut ekuiti bumiputera hanya 16 peratus: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim -Foto Sinar Harian
Tuan Ibrahim -Foto Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Pas terkejut dengan pendedahan pemilikan ekuiti korporat bumiputera dalam ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur kelmarin.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selepas 50 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan dengan pelbagai program dan tindakan, namun pemilikan ekuiti korporat bumiputera hanya mencapai separuh daripada objektif yang disasarkan iaitu sebanyak 30 peratus.

Menurutnya, amat menyedihkan apabila peratusan pemilikan ekuiti korporat bumiputera menurun tujuh mata iaitu daripada 23 peratus pada 2011 kepada 16 peratus pada 2015.

"Statistik itu juga membuktikan dasar afirmatif mesti diteruskan dan pelbagai kelompangan perlu diatasi.

"Isu Ali Baba, rent-seeking, patronage dan rasuah perlu dibanteras sepenuhnya. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang akan dilaksanakan mesti meletakkan kepentingan bumiputera dengan adil.

"Sementara itu, ekuiti korporat yang dimiliki warga asing meningkat secara mendadak daripada 37 peratus kepada 45 peratus," katanya melalui Facebook rasmi beliau.

Tuan Ibrahim berkata, kenaikan ekuiti korporat warga asing itu melangkaui sasaran 30 peratus yang ditetapkan.

Justeru menurutnya, kerajaan perlu menyemak semula keadaan tersebut dan mengatur strategi lebih wajar agar kedudukan pemilikan ekuiti korporat dapat diselaraskan seperti mana yang digariskan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Statistik semasa menunjukkan kedudukan ekonomi Melayu dan Bumiputera jauh ketinggalan.

"Pas mendesak kerajaan melunaskan janji manifesto mereka untuk menerbitkan secara terperinci laporan jumlah pegangan ekuiti Melayu dan bumiputera yang terkini.

"Pakatan Harapan berjanji bahawa laporan tersebut akan dimasukkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun. Bagaimanapun pada tahun lepas janji itu tidak ditunaikan," katanya.