Usia bukan halangan sertai Kongres Maruah Melayu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Usia bukan penghalang bagi Penaung Persatuan Warisan Melayu Masjid Tanah, Melaka, Hamzah Rasib, 77, untuk menyertai Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati di sini hari ini.

Hamzah berkata, beliau sedia berkorban dan berjuang demi mempertahankan Islam dan hak istimewa orang Melayu seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan walaupun usianya kini sudah lanjut.

“Saya bersyukur dapat menyertai kongres ini dan berharap himpunan ini tidak akan sia-sia. Walaupun umur dah agak lanjut tetapi demi perpaduan dan hak orang Melayu Islam saya tetap hadir,” katanya hari ini.

Seorang lagi ahli veteran badan bukan kerajaan (NGO), Ketua Biro Agama, Majlis Ayahanda Melaka, Murshid Wirdan, 64, turut menyatakan sokongannya terhadap matlamat kongres tersebut.

"Secara peribadi kongres ini memang bagus dan kami daripada generasi generasi lama amat berharap generasi muda sedar dan bangkit serta terus berjuang.

"Menegakkan hak orang Melayu. Kami barisan veteran hanya mampu memberi semangat dan meneruskan kesinambungan untuk menuntut hak orang Melayu," katanya ketika ditemui di Stadium Melawati, di sini.

Terdahulu, kongres anjuran empat universiti awam iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang Melayu malu terima gaji RM1,100 sebulan tetapi...

Artikel Berkaitan: