X

Kindly register in order to view this article
!

Inisiatif pengangkutan awam perlu jadi fokus utama Belanjawan 2020

Belanjawan 2020
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran memperluaskan inisiatif sedia ada dalam sektor pengangkutan awam pada Belanjawan 2020 dalam usaha mengurangkan kos hidup rakyat, kata penganalisis ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusof Saari.

Beliau berkata insentif seperti pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 memberikan manfaat kepada pengguna yang memilih pengangkutan awam sebagai pilihan utama bagi mobiliti mereka, perlu diteruskan.

Mohd Yusof turut mengutarakan pendapat bahawa perkhidmatan bas mini perlu diperluaskan berikutan permintaan tinggi terutamanya di kawasan perumahan dalam bandar.

"Pengenalan bas mini adalah satu perkara yang tepat sebab kita tahu sesetengah pengangkutan awam tidak dapat menyediakan perkhidmatan ke kawasan seperti di taman perumahan. Sekarang ini masalahnya adalah kesalinghubungan yang tidak efisien," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam pada itu, bagi menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam, Mohd Yusof turut mencadangkan sistem penggunaan satu tiket bagi memudahkan serta mengurangkan kos pengguna.

"Jadi pengguna tidak perlu membeli banyak tiket, sekarang ini perkara menyukarkan adalah, jika mahu menuju ke satu tempat ke tempat yang lain orang awam perlu membeli tiket berasingan. Ia menambahkan kos rakyat. Mungkin cadangan itu boleh difikirkan oleh kerajaan," jelasnya.

Sementara itu, bagi pengangkutan awam di luar bandar, Mohd Yusof berkata, kerajaan perlu memikirkan cara yang lebih mudah dan fleksibel tanpa memerlukan perbelanjaan tinggi.

Mengambil contoh di Sabah, beliau menjelaskan terdapat beberapa kawasan pedalaman hanya menggunakan perkhidmatan van untuk membantu memudahkan urusan perjalanan penduduk setempat.

"Laluan pendek seperti kawasan kampung ke pusat bandar tidak memerlukan perkhidmatan bas kerana ia tidak bersesuaian jika mengambil kira kepadatan penduduk di kawasan itu. Jadi, perjalanan dengan menaiki van adalah lebih mudah dan murah," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Jaringan Industri & Pengkormersilan), Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Dr Shahrin Nasir turut bersetuju pas perjalanan tanpa had itu wajar diteruskan kerana ia memberi kesan yang baik terutamanya mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata adalah lebih baik sekiranya kemudahan seperti itu diperluaskan ke bandar lain agar usaha kerajaan itu dapat dirasai oleh seluruh rakyat. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!