Wanita pergi umrah tanpa mahram: Kemuka segera fatwa

Md Daud Che Ngah
Md Daud Che Ngah
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan digesa mengeluarkan satu fatwa berhubung peraturan baharu diluluskan Kerajaan Arab Saudi bagi membenarkan wanita yang tiba di negara itu untuk tujuan pelancongan termasuk melaksanakan ibadah umrah untuk tinggal di hotel tanpa perlu ditemani mahram hari ini.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd (Andalusia), Datuk Md Daud Che Ngah berkata, fatwa bakal dikeluarkan kelak amat penting untuk dijadikan garis panduan kepada Kementerian Pelancongan dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Kebangsaan (Jakim) bagi memastikan kelonggaran terbaharu kepada wanita tanpa mahram menunaikan ibadah umrah dengan tidak mengenepikan kepentingan menjunjung maqasid syariah.

Menurutnya, dalam memenuhi tuntutan maqasid syariah berpandukan hadis sahih, terdapat satu klausa iaitu mana-mana wanita tidak boleh bermusafir kecuali ditemani mahram atau suami tetapi dalam sudut lain, ulama berpandangan kebenaran boleh diberikan kepada wanita bermusafir dengan cara mahram sementara.

"Beberapa ulama terdahulu termasuk Imam Al-Syafie atau nama sebenarnya, Muhammad bin Idris Al-Syafie menjelaskan, kaedah mahram sementara boleh dilakukan wanita bersendirian terbabit dengan menggunakan dua wanita thiqat (wanita cenderung memahami ilmu agama) atas tujuan membimbing wanita itu pergi bermusafir.

"Saya menghormati peraturan baharu diperkenalkan kerajaan Arab Saudi dilihat memberi harapan baharu kepada wanita belum berkahwin melaksanakan impian menunaikan umrah.

"Namun, kerajaan perlu melaksanakan satu garis panduan supaya terdapat kawalan dari aspek keselamatan dan memenuhi tuntutan maqasid syariah bukan sahaja terhadap wanita tanpa mahram tetapi juga dalam kalangan syarikat agensi pelancongan yang menawarkan pakej ibadah umrah," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Hari ini, Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) turut mendedahkan wanita dibenarkan tinggal di hotel tanpa perlu ditemani mahram juga boleh mendapatkan kemasukan ke penginapan itu tanpa penjaga seperti suami atau bapa, namun keputusan itu mewajibkan wanita menunjukkan kad pengenalan negara asalnya atau daftar keluarga.

Bagi wanita ekspatriat perlu mengemukakan pasport mereka apabila memohon untuk tinggal di hotel tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selari dengan keputusan itu, SCTH meminta penyedia kemudahan penginapan pelancongan untuk tidak memberikan penginapan kepada wanita yang tiada dokumen pengenalan diri melainkan mereka ditemani saudara lelaki yang perlu didaftarkan datanya.

Syarat untuk mengemukakan dokumen pengenalan atau daftar keluarga pula akan dimansuhkan sekiranya pemohon kemudahan penginapan adalah lelaki dan ditemani keluarganya semasa ketibaan.

Md Daud yang juga Bekas Pengurus Besar Tabung Haji berkata, jika dilihat dari sudut positif, peraturan baharu dikemukakan kerajaan Arab Saudi sebenarnya memberi harapan bermakna kepada wanita bersendirian yang mempunyai wang atau profesion kerjaya tinggi, namun tidak dapat menunaikan umrah disebabkan tidak bersuami atau mahram.

Selain itu beliau menegaskan, perkara itu pastinya disambut baik oleh syarikat-syarikat pelancongan menawarkan pakej ibadah umrah apabila mereka boleh menumpukan kepada segmen pasaran baharu lebih berpotensi iaitu golongan wanita tidak berkahwin atau tidak mempunyai mahram.

"Namun kebimbangan saya apabila syarikat-syarikat ini lebih memikirkan keuntungan dan tidak menitikberatkan soal hukum agama, sekali gus menjadikan pakej ibadah umrah sebagai 'money driven' dan bukan 'ibadah driven'.

"Saya turut menasihatkan kepada mana-mana wanita tidak bersuami atau mahram yang hendak menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah, mereka perlu berhati-hati dan minta pandangan ulama terlebih dahulu bagi mengelakkan tujuan ibadah tidak tercapai," katanya.