X

Kindly register in order to view this article
!

KMM pentas Tun M iltizam gubal dasar ekonomi lebih baik

Awang Azman Awang Pawi
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menjadikan pentas penganjuran Kongres Maruah Melayu sebagai pemangkin pelaksanaan iltizam untuk menggubal dasar ekonomi lebih baik daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak.

Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, iltizam politik Melayu dan bumiputera lebih komprehensif perlu dikemukakan Dr Mahathir.

"Ia bagi membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan sedang melakukan perubahan dasar strategik yang bersesuaian dengan Wawasan Kemakmuran Bersama yang dilancarkan beliau hari ini," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Dr Mahathir juga perlu mengambil aspirasi tokoh nasionalis, Abdul Rahim Kajai daripada aspek materialis yang berpendapat ekonomi orang Melayu dan golongan bumiputera perlu diperbaiki terlebih dahulu bagi memartabatkan kaum majoriti penduduk Malaysia.

"Pada masa sama, beliau (Dr Mahathir) juga tidak boleh mengetepikan aspek mentalis dikemukakan tokoh pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad atau Za'ba yang melihat sikap dan pemikiran orang Melayu perlu diubah terlebih dahulu.

"Justeru, platform Kongres Maruah Melayu adalah peluang terbaik Dr Mahathir dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk cuba melakukan inisiatif yang memberi impak lebih besar demi kepentingan masyarakat Melayu dan bumiputera secara menyeluruh," katanya.

Kongres Maruah Melayu yang berlangsung esok di Stadium Malawati di sini adalah anjuran gabungan empat universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dr Awang Azman berkata, objektif penganjuran Kongres Maruah Melayu juga bertujuan mendesak kerajaan membaiki dan mempertingkatkan lima aspek penting yang mempengaruhi kedudukan kaum Melayu dan bumiputera iaitu ekonomi, perpaduan politik, kesatuan budaya, kedaulatan agama Islam dan sistem pendidikan nasional lebih baik secara berfokus serta terancang.

Menurutnya, Kongres Maruah Melayu juga adalah satu gerakan memperjuangkan nasib kaum Melayu dan bumiputera yang kini berdepan situasi agak lemah disebabkan perpecahan serius dan perlu dirapatkan menerusi agenda perpaduan besar yang mesti melangkaui ideologi kepartian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongres Maruah Melayu bermatlamatkan perpaduan

"Dari segi sejarah, kaum Melayu dan bumiputera yang mewakili sebanyak 68.3 peratus daripada jumlah rakyat negara ini banyak menyumbang kepada inisiatif kemerdekaan negara, namun hasil arus kemodenan dan kemajuan masa kini mengakibatkan ekonomi orang Melayu semakin ketinggalan berbanding kaum lain.

"Justeru, penganjuran Kongres Maruah Melayu akan memastikan desakan roh pelaksanaaan dasar afarmatif menerapkan segala aspek pembangunan kaum Melayu dan bumiputera perlu diteruskan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau turut menjangkakan Kongres Maruah Melayu bakal menjadi pentas Dr Mahathir menyampaikan amanat terakhir kepada kaum Melayu dan bumiputera sebelum menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada bakal penggantinya iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada waktu yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongres Maruah Melayu tiada kaitan politik

"Barangkali Dr Mahathir akan memohon maaf kepada kaum Melayu kerana beliau dilihat kritikal terhadap kaum itu dengan penyampaian analogi dilihat seolah-olah merendah-rendahkan mereka.

"Namun, saya melihat kemungkinan Perdana Menteri akan turut mengaitkan semula situasi kaum Melayu zaman sekarang dengan situasi pernah dinyatakan beliau menerusi buku bertajuk 'Dilema Melayu' karangan beliau sendiri yang diterbitkan pada 1970," katanya.

Katanya, pemimpin nombor satu negara itu juga dilihat akur kedudukan ekonomi Melayu perlu dibaiki secara mentalis dan materialis kerana pengukuhan ekonomi kaum Melayu akan menjadi pemangkin kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhan.

"Sudah tiba masa Dr Mahathir selaku Perdana Menteri mendengar sendiri naratif keresahan terhadap status kedudukan kaum Melayu dan bumiputera daripada pelbagai segmen.

"Termasuklah daripada golongan cendekiawan, badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa, parti politik, golongan profesional dan suara akar umbi masyarakat marhaen di pentas penganjuran Kongres Maruah Melayu.

"Sekretariat Kongres Maruah Melayu percaya hanya bersandarkan kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang mampu membawa agenda perubahan secara tuntas," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!