Pahang raih RM6.9 billion hasil minyak sawit mentah

Shamsul Iskandar (kanan) mengiringi Wan Rosdy (tengah) melawat tapak pameran minyak sawit pada program itu hari ini.
Shamsul Iskandar (kanan) mengiringi Wan Rosdy (tengah) melawat tapak pameran minyak sawit pada program itu hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Pahang meraih pendapatan kira-kira RM6.957 bilion dalam penghasilan minyak sawit mentah dari tahun 2014 membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak 307,899 juta tan metrik.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu mengambil kira harga purata minyak sawit mentah pada kadar RM2,408 satu tan metrik.

Menurutnya, perolehan itu membuktikan industri sawit kini penting dan berperanan dalam ekonomi negara.

"Pahang adalah negeri yang aktif dalam sektor pertanian dan hampir 58,000 daripada 1.548 juta penduduk di negeri ini terlibat dalam sektor ini.

"Tanaman kelapa sawit adalah paling luas iaitu kira-kira 818,986 hektar dan kira-kira 25 peratus ditanam di rancangan tanah Felda di seluruh negeri.

"Selain itu, kira-kira 615,986 hektar lagi ditanam di estet milik swasta dan dalam ladang milik agensi Kerajaan Persekutuan seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) serta yang dimiliki oleh syarikat berkaitan Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Yayasan Pahang (YP) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Healthy Sawit Campaign 2019 Love My Palm Oil Campaign di Kompleks Belia dan Sukan Pahang hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohamad Akin; Pengerusi Persatuan Pengilang- Pengilang Kelapa Sawit Pahang Terengganu (Ptpoma), Datuk Michael Lim Lian Seng dan exco kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, langkah perlu diambil bagi menangani dan mengatasi cabaran industri sawit.

Katanya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia telah mengambil pelbagai langkah dan pendekatan demi menangani dan mengatasi cabaran-cabaran ini.

"Saya juga dimaklumkan mereka turut menjalankan pelbagai program untuk membantu pengusaha atau penggiat sawit, misalnya menganjurkan kempen larangan berurus niaga Buah Tandan Sawit mentah.

"Pengilang digalakkan memulangkan ‘consignment’ Buah Tandan Sawit mentah kepada pihak pembekal," katanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal pengenalan kempen ini telah menimbulkan banyak masalah tetapi hari ini pengusaha kelapa sawit sudah menerima larangan ini sebagai antara usaha memperbaiki mutu industri sawit..

Wan Rosdy memberitahu, kempen itu adalah satu usaha memberi kesedaran kepada penggiat sawit dan orang ramai mengenai pentingnya mematuhi syor yang ditetapkan di bawah Malaysian Sustainable Palm Oil Standards.

Katanya, ini bagi menjamin kualiti minyak sawit pasaran tempatan dan global sentiasa tinggi, selamat serta boleh memikat pihak pengguna sama ada dalam apatah lagi luar negara.

"Saya gembira kempen ini dapat mengeratkan hubungan antara semua pihak yang terlibat demi memperbaiki lagi industri sawit di pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.