Kerajaan ambil pendekatan baharu tingkat ekonomi: Tun M


DARI KIRI: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri KDN, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),Kuala Lumpur hari ini. FOTO: ZAHID IZZANI
DARI KIRI: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri KDN, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),Kuala Lumpur hari ini. FOTO: ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia akan mengambil pendekatan yang baharu melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) bagi memantapkan pencapaian ekonomi negara.

Beliau berkata, inisiatif yang diperkenalkan tersebut dapat memastikan rakyat dan negara menikmati Kemakmuran Bersama.

Perdana menteri berkata, sepanjang dekad yang lalu, pengurusan ekonomi negara telah dicorak secara radikal ke arah liberalisasi pra-matang dan ini telah menyebabkan cita-cita menjadi negara maju seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020 tidak tercapai sepenuhnya.

"Namun menjadi negara berpendapatan tinggi tidak menjamin pengagihan kemewahan dan peningkatan pendapatan oleh rakyat adil dan saksama,” kata Dr Mahathir di dalam prakata Buku WKB 2030 yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Buku WKB2030 dilancarkan oleh Dr Mahathir hari ini.

Beliau berkata, kerajaan telah mengambil pendekatan baharu dalam pengurusan ekonomi dan sosial negara iaitu pembangunan dan kemajuan yang dicapai mestilah mampu menghasilkan Kemakmuran Bersama.

"Dalam konteks ini, semua rakyat akan dapat menikmati peningkatan pendapatan isi rumah dan kuasa beli yang ketara termasuk pengecilan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kumpulan etnik, wilayah dan rantaian bekalan," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata, model ekonomi dekad lalu lebih tertumpu kepada penambahan hutang negara untuk pelaksanaan projek-projek mega dan pemilikan ekuiti negara lebih banyak bertukar kepada pemilikan asing.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemilikan ekonomi pula hanya terfokus kepada beberapa bandar raya utama negara dengan mengenepikan pertumbuhan dan pemilikan ekuiti serta peluang kepada rakyat di luar bandar.

Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh Malaysia 2018 menunjukkan bahawa jumlah pekerja separa mahir dan berkemahiran rendah adalah 72.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja dalam negara.

"Kini, dengan pelbagai bentuk pembaikan dan reformasi institusi yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan, saya yakin usaha-usaha untuk membela golongan B40 dan masyarakat Bumiputera seluruhnya akan membuahkan hasil seperti mana yang dihasratkan," kata Dr Mahathir. - Bernama