Simpanan ahli LTAT terjaga: Mohd Zahidi

MOHD ZAHIDI
MOHD ZAHIDI
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berusaha bagi memastikan LTAT bersih daripada unsur-unsur yang boleh memudaratkan situasi kewangan dan simpanan ahli.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin turut menegaskan bahawa simpanan ahli LTAT adalah terjaga.

"Pengisytiharan dividen baru-baru ini adalah selari dengan kedudukan kewangan LTAT pada ketika ini setelah penilaian dan penyataan semula akaun-akaun tahun 2016 dan 2017 dilakukan.

“Namun begitu, LTAT ingin menegaskan bahawa simpanan ahli adalah terjaga dan LTAT sedang melaksanakan pelbagai usaha demi menjana pulangan yang mampan untuk ahli-ahli kami di masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, LTAT masih meneliti laporan semakan yang telah disediakan oleh syarikat perakaunan Messrs Ernst & Young berhubung kedudukan sebenar LTAT untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 dan 31 Disember 2018.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, LTAT mengumumkan dividen dua peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2018, dengan jumlah agihan RM161.2 juta yang akan diagihkan pada ahli minggu ini.

Dalam masa sama, Mohd Zahidi berkata, LTAT akan terus memberi tumpuan terhadap penambahbaikan kedudukan kewangannya demi menjana pulangan yang mampan bagi ahli-ahlinya.

Katanya, LTAT juga sedang giat mempertingkatkan perkhidmatan yang disediakan untuk ahli-ahlinya yang terdiri daripada Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Artikel Berkaitan:

“Kami telah membentuk Pelan transformasi LTAT yang akan memacu arah tujuan kami dalam memperbaiki kelemahan LTAT dan seterusnya memperkukuhkan tadbir urus korporat kami.

“LTAT wujud demi perajurit dan kami berpegang teguh kepada tanggungjawab ini. Dengan ini, kami telah mengenal pasti aspek-aspek yang perlu dipertingkatkan supaya kami dapat menjana pulangan yang baik dan mampan untuk ahli-ahli kami,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN Dividen LTAT rendah kerana salah labur: Mohamad Sabu