Ganjaran wang tunai RM30,000 kepada pemberi maklumat

Gambar hiasan
A
A

KOTA KINABALU - Ganjaran berbentuk wang akan diberikan kepada pemberi maklumat yang membantu pihak berkuasa menahan enam suspek disyaki terlibat dalam pembunuhan seekor gajah pygmy di Tawau, baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, perkara itu sedang diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar negeri.

“Kami sedang menguruskannya, kami akan memberikan wang itu kepada pemberi maklumat. Maklumat yang diberi membantu polis di Tawau dan pegawai Jabatan Hidupan Liar untuk menyelesaikan kes pembunuhan haiwan yang kejam itu dengan pantas,” katanya tanpa mengulas lanjut mengenai butiran pemberi maklumat itu.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas sidang media Kejohanan Golf Amatur Dunia di sini hari ini.

Jabatan Hidupan Liar Sabah menawarkan ganjaran RM10,000 untuk maklumat yang membawa kepada tangkapan pelaku dan ia kemudiannya dinaikkan kepada RM30,000 berikutan sumbangan daripada seorang individu tidak dikenali dan pertubuhan Orangutan Appeal UK yang berpangkalan di United Kingdom.

Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah juga berkata, gading gajah yang mati itu tidak akan disimpan tetapi dimusnahkan.

Polis menahan enam lelaki, lima orang tempatan dan seorang pendatang haram berusia antara 48 hingga 68 tahun, berkaitan pembunuhan kejam seekor gajah pigmi yang bangkainya dijumpai di Sungai Udin, Dumpas minggu lepas.

Semalam, Mahkamah Majistret Tawau membenarkan keenam-enam suspek itu direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Polis berusaha kesan pembeli gading gajah Pygmy