Warga Myanmar terlibat pecah rumah, curi dicekup

Chee Khoon (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam di sini hari ini.
Chee Khoon (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan dirampas pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam di sini hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang lelaki warga Myanmar yang terlibat dalam satu kes pecah rumah dan curi dicekup polis dalam tempoh 13 jam dalam serbuan di Jalan 1 Bagan Nakhoda Omar, 29 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan pada jam 12.20 tengah malam ketika bersembunyi di bawah pelantar ikan.

Menurutnya, suspek yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, 'Task Force' dan anggota dari Balai Polis Sungai Air Tawar.

"Polis merampas satu beg galas, komputer riba, telefon bimbit, rantai emas dan rantai berwarna biru serta cincin perak.

"Selain itu, kita turut merampas empat batu permata dan satu uncang berwarna hitam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Chee Khoon berkata, sebahagian barangan rampasan itu ditemui dalam beg galas milik suspek dan diletakkan di bawah pelantar ikan yang menjadi tempat persembunyian suspek.

Katanya, sebelum ini seorang buruh binaan membuat laporan polis apabila mendapati beberapa barangan berharga miliknya hilang selepas rumahnya di Batu 11 Sungai Air Tawar dipecah masuk pada 28 September lalu.

Katanya, kejadian jam 11.30 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 45 tahun itu meninggalkan rumah dan pergi ke rumah adiknya di Hutan Melintang, Perak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek kini masih ditahan reman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan (KK).