Lelaki dituduh Macau Scam babitkan RM100,000

Tertuduh ketika di bawa ke mahkamah.
Tertuduh ketika di bawa ke mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menipu membabitkan sindiket Macau Scam membabitkan wang tunai RM100,000 bulan lalu.

Tertuduh, Muhamad Hasim Zulfahmi, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama suspek yang masih bebas dengan curangnya telah memperdaya Mohd Sharif Kamso, 64, supaya menyerahkan wang tunai RM100,000 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh berkenaan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta yang sebenarnya tidak wujud.

Perbuatan itu dilakukan pada 24 September lalu kira-kira pukul 1.30 petang di RHB Bank cawangan Bandar Baru Nilai.

Berikutan itu tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan rendah kerana bekerja sendiri dengan pendapatan bulanan RM1,000.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 4 November depan.

Artikel Berkaitan: