'Isu peralihan kuasa PM tidak sepatutnya dibangkitkan lagi'

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. FOTO: BERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Isu peralihan kuasa Perdana Menteri tidak sepatutnya dibangkitkan lagi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, perkara itu telah diputuskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.

"Isu ini tidak timbul kerana kita dah ada perjanjian dahulu masa kita pergi ke PRU, kita katakan perdana menteri akan dan perdana menteri yang susulan itu, itulah yang dijanjikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan MySTEMI Foundation di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Husin Ali yang mendesak peralihan kuasa pentadbiran negara oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dilakukan segera yang kemudiannya menerima kenyataan balas termasuk oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dengan menyifatkan gesaan itu tidak bertanggungjawab dan terpesong daripada keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Ditanya sama ada isu peralihan kuasa berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang, Dr Wan Azizah berkata "Saya fikir perkara itu telahpun dipersetujui... apa lagi yang hendak dibincangkan?”.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden PH berkata, lebih banyak isu lain, yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan PH.

"Kita ada isu lain, isu penyakit jantung misalnya, isu nak perbetulkan negara kita," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kes lelaki warga asing sanggup berkahwin dengan wanita berusia untuk tinggal lama dan berniaga di Sabah, Dr Wan Azizah berkata, pihaknya akan mengkaji kes-kes sedemikian.

"Kita akan kaji kes-kes begini. Tertakluk pada syarat-syarat pas dan permit yang dipegang warga asing itu. Kalaulah melanggar apa-apa syarat oleh Jabatan Imigresen, mereka akan ambil tindakan," katanya.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman dilapor mendedahkan terdapat lelaki warga Pakistan yang datang ke Sabah, sanggup berkahwin dengan wanita berusia termasuk berstatus nenek, semata-mata mahu mendapatkan pas lawatan sosial suami asing kepada warga negara, untuk tinggal lama dan berniaga di negeri tersebut. - Bernama