JPNK siasat aktiviti pembalakan, perlombongan haram

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) memandang serius terhadap setiap tuduhan yang didedahkan seorang aktivis alam sekitar melibatkan aktiviti pembalakan dan perlombongan haram di negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Radhi Chu Abdullah dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pihaknya akan menyiasat tuduhan tersebut secara terperinci dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ia terbukti.

"Siasatan awal JPNK mendapati bahawa pihak kontraktor pembalakan hanya diminta menjelaskan bayaran untuk tujuan pelesenan berdasarkan kaedah-kaedah hutan yang berkuatkuasa di Kelantan.

"Semua bayaran yang dikenakan akan dikeluarkan resit rasmi. Pegawai dan kakitangan tidak dibenarkan sama sekali menerima bayaran secara tunai," katanya.

Menurutnya, dakwaan mengenai aktiviti melebarkan sempadan dengan mengubah batu sempadan bagi tujuan pembesaran kawasan kerja pula telah dapat ditangani melalui prosedur JPNK yang menetapkan setiap stesen sempadan mempunyai pokok paksi yang ditanda di lapangan dan juga dicatat pada pelan kawasan kerja.

Beliau berkata, sekiranya batu sempadan diubah, perkara itu dapat dikesan semasa kerja-kerja pengesahan sempadan oleh pegawai renjer dan pegawai hutan jajahan.

"Semakan kelarian sempadan juga dilakukan sebelum, semasa dan selepas pengubahsuaian oleh pegawai dan kakitangan JPNK.

"Mengenai dakwaan bayaran tanpa resit untuk penandaan pokok melalui gred juga tidak berasas kerana hanya pokok yang ditebang ditanda berasaskan had batas tebangan yang ditentukan melalui inventori hutan sebelum tebangan (Pre-F). Pokok bersaiz kecil dan belum matang tidak akan ditanda sama sekali untuk tujuan tebangan.

Artikel Berkaitan:

"Kayu balak yang akan diproses di kilang perlu dibawa ke Balai Pemeriksaan Hutan (BPH) terlebih dahulu untuk dikeluarkan Pas Pemindah. Untuk tujuan pengeluaran Pas Pemindah, tual-tual balak ditentukan spesies dan diukur bagi menentukan nilai royalti dan ses.

"Justeru itu, dakwaan bayaran cukai sebuah lori balak kepada dua lori balak dan aktiviti ubah suai ukuran saiz dan jenis kayu balak menyebabkan taksiran cukai dikutip lebih rendah daripada kiraan cukai sebenarnya tidak wujud kerana sukar untuk mendapat saiz dan spesis yang sama untuk digunakan kali kedua," katanya.

Dalam kenyataan sama, Mohd Radhi juga berkata, JPNK telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk membendung kes-kes kesalahan hutan dan pembalakan haram bagi mengelak ketirisan hasil kepada kerajaan Kelantan.

"Antaranya melaksanakan pemeriksaan secara berkala di kawasan pengusaha hasilan, pemeriksaan transit kayu balak dan pemeriksaan secara mengejut di Balai Pemeriksaan Hutan.

"Bagi memperkuatkan aktiviti penguatkuasaan JPNK sering melaksanakan operasi bersepadu pelbagai agensi penguatkuasaan di peringkat negeri termasuk polis, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran dan sebagainya.

"JPNK juga menggalakkan kakitangan yang terlibat untuk menghadiri bengkel berkaitan penguatkuasaan bagi tujuan meningkatkan kefahaman.

"Kita juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap pegawai atau kakitangan yang didapati tidak berintegriti," katanya.