Grab Malaysia terkejut didenda RM86.8 juta

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia terkejut dengan keputusan cadangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mendenda syarikat itu sebanyak RM86,772,943.76 kerana amalan menindas.

Jurucakap syarikat tersebut berkata, pihaknya telah mematuhi sepenuhnya Akta Persaingan 2010.

"Kami terkejut dengan cadangan keputusan yang kami terima pagi ini dan peguam kami sedang mengkaji keputusan yang dicadangkan MyCC.

"Kami percaya adalah satu amalan biasa bagi perniagaan untuk menentukan ketersediaan dan jenis pengiklanan pihak ketiga di platform masing-masing untuk disesuaikan mengikut keperluan dan maklum balas pengguna.

"Kami akan menghantar representasi bertulis kepada MyCC menjelang 27 November ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail turut mengumumkan Grab Malaysia didenda secara harian sebanyak RM15,000.

Cadangan denda dikenakan kerana syarikat itu gagal mengambil tindakan pembetulan seperti diarahkan MyCC bagi menangani isu persaingan berkaitan.

Grab didakwa melanggar Seksyen 10 Akta Persaingan 2010 (AP 2010) secara kolektif berikutan syarikat itu didapati menyalahgunakan kedudukan dominannya melalui pengenaan beberapa klausa yang membataskan pemandunya.

Artikel Berkaitan:

Syarikat itu didapati membataskan pemandunya daripada mempromosikan dan menyediakan perkhidmatan pengiklanan kepada pesaing Grab dalam perkhidmatan e-hailing dan pasaran pengiklanan media transit.