MBJB jawab isu warung cedok air longkang

Air dari paip yang pecah di bawah tanah di warung tersebut. Gambar kanan: Warung yang tular dalam video 19 saat tersebut. - Foto MBJB
Air dari paip yang pecah di bawah tanah di warung tersebut. Gambar kanan: Warung yang tular dalam video 19 saat tersebut. - Foto MBJB
A
A
A

JOHOR BAHRU - Video seorang wanita yang juga penjaja sedang mencedok air dari longkang di kawasan Perindustrian Cemerlang, Taman Desa Cemerlang yang tular baru-baru ini disalah anggap oleh netizen.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Amran A Rahman berkata, siasatan yang dilakukan pada 29 September mendapati penjaja itu bukan mencedok air longkang sebaliknya dari sumber paip SAJ Ranhill yang pecah.

Bagaimanapun katanya, tindakan itu tetap tidak bertanggungjawab kerana air berkenaan tidak dapat dipastikan kebersihannya dan boleh mengundang masalah kesihatan.

"Siasatan berkenaan mendapati air yang diambil penjaja itu adalah daripada paip air SAJ Ranhill pecah di bawah tanah warung kekal tersebut dan bukan air longkang.

"Perbuatan itu tidak bertanggungjawab kerana boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan jika digunakan dalam aktiviti perniagaan sama ada untuk memasak atau mencuci pinggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, warung tersebut juga antara yang dikesan beroperasi tanpa lesen dan telah menerima notis peringatan daripada Jabatan Penguatkuasa MBJB sebelum ini.

"Siasatan juga mendapati penjaja berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dan telah diberi notis peringatan kali kedua oleh Jabatan Pelesenan MBJB.

"Warung itu merupakan sebahagian dari 51 warung kekal tanpa lesen di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang yang telah diberi notis ketika Jabatan Penguatkuasa MBJB menjalankan penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen di kawasan perindustrian terbabit Julai lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini tular rakaman video 19 saat menunjukkan seorang wanita dipercayai penjaja di tepi jalan seolah-olah sedang mencedok air dari longkang di kawasan Perindustrian Cemerlang, Taman Desa Cemerlang.