Royalti minyak Kelantan: Hingga kini janji tinggal janji

Gambar hiasan
A
A

KOTA BHARU - Kegagalan kerajaan Persekutuan membayar royalti minyak kepada Kelantan membuktikan kezaliman masih berterusan terhadap negeri ini.

Presiden badan bukan kerajaan (NGO) Royalti, Nazri Deraman berkata, nasib rakyat Kelantan sama sahaja semasa era pemerintahan kerajaan dahulu dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini.

"Sebaik sahaja PH membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan, pelbagai kenyataan media telah dibuat oleh ramai pimpinan kerajaan Persekutuan yang menyatakan kesediaan untuk menjelaskan bayaran royalti tersebut namun sehingga kini setelah memerintah hampir dua tahun janji tersebut masih tinggal janji kosong yang tidak pernah ditunaikan," katanya.

Menurutnya, pada peringkat awal peralihan kuasa dan pembentukan kerajaan, pihaknya meletakkan harapan yang cukup tinggi agar kerajaan berikan sedikit keadilan untuk rakyat Kelantan.

Beliau berkata, pelbagai alasan teknikal yang sebenarnya alasan politik digunakan untuk menghalalkan kezaliman dan penafian daripada membayar royalti tersebut.

Nazri Deraman
Nazri Deraman

"Semua langkah telah diambil oleh pihak kerajaan Kelantan seperti mengadakan rundingan, pertemuan dan telah pun membatalkan saman terhadap Petronas serta kerajaan Persekutuan sebagaimana permintaan yang berupa syarat yang wajib diikuti oleh kerajaan negeri.

"Seluruh rakyat Kelantan sentiasa mengikuti perkembangan isu ini secara dekat. Rakyat Kelantan menuntut jawapan yang pasti apakah hasil kajian Jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan?," katanya.

Nazri berkata, rakyat Kelantan juga minta pihak kerajaan Persekutuan tidak lagi mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mengelirukan tetapi amat berharap agar perjanjian royalti (9 Mei 1975) ditunaikan dan Peruntukan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dihormati dengan menjelaskan bayaran royalti demi kebaikan seluruh rakyat Kelantan.

"Nampaknya kerajaan PH seakan meneruskan kezaliman dan penafian terhadap rakyat Kelantan, tindakan tersebut berkemungkinan besar akan menyebabkan rakyat Kelantan bangkit kembali sekali lagi untuk memperjuangkan hak mereka.

"Sebelum ini kami hanya tunggu dan lihat dalam tempoh hampir dua tahun bagi memberi peluang kepada kerajaan Persekutuan menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan pembayaran royalti ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Royalti minyak: Kes saman kerajaan Kelantan terhadap Kerajaan Persekutuan selesai