Meja bulat 'Peduli Kashmir' angkat isu Kashmir

Nazir (empat dari kanan) merakamkan gambar kenangan selepas Perbincangan Meja Bulat: Peduli Kashmir yang berlangsung di Ibu Pejabat Global Peace Mission (GPM) Malaysia hari ini. - Foto Asril Aswandi Shukor.
Nazir (empat dari kanan) merakamkan gambar kenangan selepas Perbincangan Meja Bulat: Peduli Kashmir yang berlangsung di Ibu Pejabat Global Peace Mission (GPM) Malaysia hari ini. - Foto Asril Aswandi Shukor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Global Peace Mission (GPM) Malaysia bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi selaku penggerak masyarakat sivil akan terus mengangkat isu Kashmir dengan memberi pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat berhubung konflik yang sedang berlaku di wilayah itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, kesepakatan antara NGO telah diterjemahkan melalui penganjuran Perbincangan Meja Bulat: Peduli Kashmir yang turut disertai oleh wakil dan tokoh dari Kashmir sendiri dalam usaha mendapatkan gambaran terperinci berhubung situasi terkini yang sedang berlaku.

Menurutnya, pihaknya mahu agar usaha mengangkat isu berkenaan tidak hanya berakhir di situ sebaliknya melihat pendedahan perlu dibuat menerusi pelbagai program lain menjadikan kefahaman dan kesedaran isu berkenaan ke skala yang lebih besar.

"Kita memahami kekangan yang dihadapi kerajaan dalam membawakan isu ini ke peringkat yang lebih vokal kerana melibatkan sensitiviti, komitmen dan keterikatan antara negara yang masih kuat.

"Bagaimanapun kita sesuaikan dalam keadaan Malaysia itu sendiri kerana yang kita bawa adalah tindakan kolektif bersama dalam isu ini. Bukan hanya melibatkan Malaysia tetapi di peringkat global," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Nazir menurunkan tandatangan sambil diperhatikan Mohamad Raimi (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia, Ahmad Fahmi (kanan) dalam Perbincangan Meja Bulat: Peduli Kashmir. - Foto Asril Aswandi Shukor.
Nazir menurunkan tandatangan sambil diperhatikan Mohamad Raimi (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia, Ahmad Fahmi (kanan) dalam Perbincangan Meja Bulat: Peduli Kashmir. - Foto Asril Aswandi Shukor.

Ahmad Fahmi berkata, susulan perkembangan terbaharu di Kashmir, pihaknya kini dalam usaha menggerakkan misi bantuan kemanusiaan Kashmir.

Artikel Berkaitan:

"Kita cuba melihat untuk membantu komuniti Kashmir yang ada di Malaysia.

"Mereka berhadapan dengan situasi terputus hubungan dengan keluarga, akses kepada informasi juga terhalang. Jadi kita lihat ruang dan peluang untuk kita salurkan bantuan kemanusiaan," katanya.

Terdahulu, perbincangan meja bulat yang dihadiri Penaung Kempen Kashmir Global UK, Nazir Ahmed itu turut sepakat mengadakan program khas sempena 'Kashmir Black Day' pada 27 Oktober depan sebagai hari yang perlu dikongsi dan diperingati secara bersama.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya sebarang usaha damai ke arah penyelesaian konflik di Kashmir termasuk yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Perbahasan Umum pada Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang mahu hak kebebasan untuk memilih terletak pada rakyat Kashmir dijamin oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, dalam masa sama ABIM akan berperanan menggerakkan kempen kesedaran awam dengan memperbanyakkan penulisan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris hasil rundingan meja bulat yang diadakan.

"Kita bimbang sekiranya gerakan yang berlaku di Kashmir akan mengambil masa yang panjang seterusnya menimbulkan konflik yang lebih meruncing antara India dan Pakistan dan dikhuatiri akan memberi kesan kepada negara-negara jiran," katanya.