Isu Kampung Baru: DPMM gesa beli tanah RM2,000 satu kaki persegi

Suasana di Kampung Baru berlatarbelakangkan bandaraya Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Suasana di Kampung Baru berlatarbelakangkan bandaraya Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan membeli tanah di Kampung Baru pada harga nilai tanah semasa iaitu RM2,000 satu kaki persegi dan bukan RM850 satu kaki persegi ditawarkan sebelum ini.

Setiausaha Agungnya, Amirhamzah Karim mempersoalkan tindakan kerajaan yang mahu membeli tanah di kampung itu pada harga jauh lebih rendah daripada harga semasa.

Menurutnya, harga ditawarkan seharusnya berpatutan dengan nilai tanah semasa iaitu RM2,000 satu kaki persegi.

"Kenapa nak beli RM850 (satu kaki persegi) sahaja, mengapa tidak nilaikan pada harga semasa?

"Kalau dengan harga murah sebegitu, kamu fikir konsep jangka panjang, penjagaan hartanah Melayu di KL (Kuala Lumpur) semua, dia tak seiring," katanya pada sidang media bersama ahli jawatankuasa DPMM di sini hari ini.

Amirhamzah turut menggesa kerajaan melupuskan konsep penjualan tanah rizab Melayu di bawah harga pasaran sebagaimana amalan ketika ini.

Menurutnya, tindakan segelintir pihak mengatakan tanah rizab Melayu mesti diletakkan harga bawah pasaran pada zaman sekarang adalah merupakan sikap tidak adil.

"Bila tanah rizab Melayu selalunya orang bila nak beli, mesti nilai dia jatuh. Kenapa? Dia boleh beli pada harga pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Sikap orang mengatakan tanah rizab Melayu mesti di bawah pasaran pada zaman sekarang adalah sikap tidak adil," katanya.

Amirhamzah turut mencadangkan pembelian tanah penduduk Kampung Baru diuruskan melalui proses pajakan tanah.

Menurutnya, inisiatif sama turut diguna pakai di negara Singapura dan negeri-negeri maju di mana semua tanah akan dibeli secara pajakan jangka panjang.

"Itulah kaedah sepatutnya yang kita (kerajaan) gunakan dan kaedah itu sebenarnya memastikan bahawa kesinambungan kepunyaan tanah milik orang Melayu itu berterusan sampai bila-bila.

"Kita harap kaedah ini yang patut diteruskan. Jadi pemikiran yang bahawa semua tanah kerajaan kena beli itu patut ditolak sama sekali untuk warisan tanah rizab Melayu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Situasi menang-menang di Kampung Baru

Sabtu lalu Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menjelaskan harga yang ditentukan bagi pembelian tanah di Kampung Baru adalah dengan nilai RM650 hingga RM850 satu kaki persegi.

Khalid Samad semasa sesi soal jawab bersama pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru Sabtu lalu turut memberi jaminan bahawa tanah di Kampung Baru tidak akan dijual kepada bukan Melayu.

Menurutnya, ini seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu Seksyen 14 (14).