X

Kindly register in order to view this article
!

Langkah awal kerjasama Pas-UMNO Terengganu

Pertemuan bersejarah antara kedua-dua parti yang berlangsung malam tadi. -Foto Facebook Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu
A
A

KUALA TERENGGANU - Pertemuan rasmi antara Pas dan UMNO Terengganu buat pertama kalinya malam tadi dilihat sebagai langkah awal untuk melihat ruang kerjasama yang boleh diterokai antara kedua-dua parti Melayu terbesar itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun sebelum ini ada program dan perjumpaan bersama antara kedua-dua parti, namun belum ada perjumpaan rasmi bagi membincangkan kerjasama dan kesepakatan antara Pas dan UMNO di Terengganu.

“Pada saya, semalam adalah satu langkah awal untuk kita bertemu, berbincang, kenal-mengenal dan lihat apa yang boleh diterokai selepas ini.

“Negeri lain ada yang sudah buat pertemuan. Tapi untuk Terengganu, semalam sudah ada perkara yang dibincangkan secara umum, selain kenal dahulu antara satu sama lain. Barulah kita tengok apa yang boleh dilakukan selepas ini.

“Saya rasa, tentunya pertemuan itu tidak akan berakhir di situ. Selepas ini adalah perkara-perkara yang boleh di follow up (susulan). (Tinggal) tak jauh, sama-sama di Terengganu, mudah nak jumpa,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Pas dan UMNO Terengganu telah mengadakan pertemuan di Hotel Permai malam tadi melibatkan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti iaitu Dewan Harian Pas Negeri, Yang Dipertua-Yang Dipertua Pas Kawasan dan Ketua-ketua Bahagian UMNO Negeri.

Pas Terengganu diketuai Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang manakala UMNO Terengganu diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said.

Perjumpaan penuh bersejarah itu bagi membincangkan berkenaan kerjasama dan kesepakatan kedua-dua parti dalam merealisasikan Piagam Muafakat Nasional yang termeterai pada 14 September yang lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus