1,000 pelajar sekolah di Pulau Pinang hisap vape, e-rokok

Lebih 1,000 pelajar sekolah di Pulau Pinang terlibat dalam penggunaan vape dan e-rokok.
Lebih 1,000 pelajar sekolah di Pulau Pinang terlibat dalam penggunaan vape dan e-rokok.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 1,000 pelajar sekolah di Pulau Pinang didapati terlibat dalam penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, hasil tinjauan mendapati pelajar yang dikesan melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Menurutnya, mereka yang terlibat akan membentuk kumpulan yang terdiri daripada enam hingga 10 orang dan akan berjumpa di pasar raya untuk membeli cecair.

"Lebih merunsingkan ada di kalangan mereka menjadi ejen menjual cecair serta peralatan e-rokok dan vape kepada pelajar lain. Keadaan itu membimbangkan kerana penggunaan peralatan ini bukan hanya di kalangan orang dewasa malah sudah menular di sekolah.

"Sehubungan itu CAP menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan kedua-dua alat tersebut bagi mengelakkan penyakit paru-paru di kalangan pengguna e-rokok dan vape. Dengan pengharaman itu, kita boleh mengelakkan lebih banyak kematian akibat penyakit paru-paru," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Tambahnya, negara berdepan dengan bom jangka apabila dianggarkan sejuta orang menggunakan vape dan kemungkinan berhadapan dengan masalah kesihatan berhubung paru-paru.

"Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat melaporkan 805 penyakit paru-paru kerana menghisap vape dengan 12 kematian di seluruh negara itu. Lebih 40 negara telah mengharamkan vape dan e-rokok termasuk Austria; Belgium, Jerman dan Itali.

"Di Asia pula, Thailand, Singapura dan India juga telah mengharamkan peralatan ini. Bila pula giliran kita mahu mengharamkan vape dan e-rokok ini?

Artikel Berkaitan:

Mohideen menunjukkan vape dan e-rokok yang menjadi kegilaan orang ramai termasuk pelajar sekolah.
Mohideen menunjukkan vape dan e-rokok yang menjadi kegilaan orang ramai termasuk pelajar sekolah.

Selain masalah kesihatan, pengguna vape dan e-rokok juga berdepan dengan pembaziran apabila perlu membelanjakan sejumlah wang untuk membeli cecair khas yang digunakan dalam peralatan tersebut," katanya.

Mohideen berkata, Malaysia mungkin akan berdepan dengan krisis kesihatan awam sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan tegas ke atas penggunaan dua peralatan tersebut.

"Kita tidak ada satu sistem untuk memeriksa berlakunya kes berkaitan menghisap vape yang tidak dapat dikesan seperti di Amerika Syarikat. Kita bimbang berlaku krisis kesihatan awam jika ada kes penyakit paru-paru tidak dilaporkan.

"Bukan sahaja memberi kesan kepada mereka yang menghisap, orang sekeliling termasuk ahli keluarga juga akan terdedah dengan bahaya asap e-rokok dan vape ini. Tidak benar apabila ada dakwaan menghisap vape atau e-rokok tidak merbahaya seperti rokok biasa. Sebenarnya, kedua-duanya memberi kesan yang teruk," katanya.