Desak henti operasi kuari granit haram

Kawasan kuari haram yang beroperasi di Teluk Bahang. Foto: Google Maps
Kawasan kuari haram yang beroperasi di Teluk Bahang. Foto: Google Maps
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) digesa mengambil tindakan tegas terhadap operator kuari granit haram di Teluk Bahang kerana memusnahkan alam sekitar di kawasan terbabit.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera untuk memberhentikan operasi selain mengheret operator kuari tersebut ke mahkamah untuk tindakan sewajarnya.

Menurutnya, selain itu operator kuari perlu memulihkan semula kawasan yang musnah akibat daripada operasi kuari haram tersebut.

"Kawasan di kuari tersebut didapati telah musnah dan terjejas akibat kerja-kerja yang dilakukan. Kerajaan negeri dan MBPP perlu bertindak segera dengan membuat penyiasatan bukannya bertindak selepas isu disiarkan melalui media.

"Lebih mengecewakan kami mendapat tahu bahawa isu ini telah diketahui oleh pihak berkuasa sejak pendedahan dibuat pada Mei 2016. Walaupun sudah diketahui, kuari tersebut masih menjalankan operasi seperti biasa. Malah difahamkan MBPP telah mengeluarkan notis berhenti kerja pada Februari dan Mei lalu namun operator tidak mengendahkannya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Meenakshi berkata, pihaknya kesal apabila tiada tindakan tegas diambil terhadap operator kuari yang tidak mematuhi notis pemberhentian kerja oleh MBPP.

"Mengapa kerajaan negeri tidak mengambil tindakan tegas sedangkan operator secara terang-terangan melanggar semua peraturan sedia ada. Tambahan pula, sebahagian kuari itu dijalankan di kawasan bukit yang melebihi 76 meter (250 kaki).

"Ia bertentangan dengan Rancangan Stuktur Pulau Pinang terutamanya untuk kegiatan yang melibatkan kuari dan peletupan. Selain itu ia berada di kawasan sensitif berdekatan hutan tadahan air dan Empangan Teluk Bahang. Bagaimana perkara ini boleh berlaku sejak bertahun-tahun?," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo mengakui kerajaan negeri mengetahui mengenai kewujudan kuari granit itu di Teluk Bahang.

Menurutnya, MBPP telah mengeluarkan notis beberapa bulan lalu bagi mengarahkan kerja di kuari tersebut dihentikan segera namun didapati operatornya masih berdegil.

"Saya difahamkan MBPP telah membuat laporan polis bulan lalu untuk siasatan lanjut dijalankan. Perkara ini akan dibawa ke Mesyuarat Exco Pulau Pinang untuk dibincangkan.

"Mengikut peraturan sekiranya operator gagal mematuhi notis yang dikeluarkan maka kes ini akan dibawa ke mahkamah," katanya.

Meenakshi
Meenakshi