Ujian elektrokardiogram percuma sempena Hari Jantung Sedunia 2019

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) melancarkan Kempen Kesihatan Jantung CVSKL yang menawarkan pemeriksaan ujian elektrokardiogram (ECG) percuma kepada orang ramai sempena Hari Jantung Sedunia 2019.

Program dengan kerjasama rangkaian klinik swasta Qualitas Healthcare itu bermula dari 1 Oktober hingga 31 Disember ini.

Pengerusi CVSKL, Tan Sri Dr Yahya Awang berkata, rakyat berusia 40 tahun ke atas boleh menjalani ujian tersebut di 10 klinik Qualitas terpilih di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, ECG memberi fokus kepada mereka yang mempunyai penyakit kardiovaskular terutama yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, berkolesterol tinggi, menghidap darah tinggi serta mempunyai indeks jisim badan (BMI) tidak normal.

“Di CVSKL kami dapati ramai pesakit datang mendapatkan rawatan penyakit jantung pada usia masih muda iaitu berusia kurang daripada 58 tahun..

“Ia sangat membimbangkan kerana usia purata bagi pesakit jantung di negara lain adalah Thailand (65 tahun), Singapura (61 tahun) manakala Amerika Syarikat (66 tahun),” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menyenaraikan penyakit jantung sebagai penyebab utama kematian dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahun 2005 hingga 2017.

Katanya, sebagai penyedia perkhidmatan rawatan jantung pihaknya merasakan bahawa purata usia mereka yang menghidap penyakit jantung akan jauh lebih muda biarpun pelbagai inisiatif dijalankan bagi mengesan dan merawat penyakit ini.

Artikel Berkaitan:

“Ada dalam kalangan rakyat ambil berat kesihatan tubuh badan mereka termasuklah jalani pemeriksaan rutin tetapi masih ramai mengambil pemakanan tidak sihat, tidak bersukan hingga terdedah dengan penyakit tidak mampu dirawat,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Qualitas Healthcare, Datuk Dr Noorul Ameen Mohamed Ishack berharap orang ramai terdorong membuat pemeriksaan awal dan mengesan gejala penyakit tidak diketahui dengan tawaran pemeriksaan ECG secara percuma.

Beliau berkata, klinik terpilih yang disenaraikan dilengkapi fasiliti dan kemudahan yang baik untuk menjalankan ujian ECG.

“Kami sasarkan sekurang-kurangnya 3,000 orang ke klinik kami bagi menjalani ujian sepanjang tempoh kempen," katanya.