Kongres Maruah Melayu bermatlamatkan perpaduan

Dr Zainal Kling
Dr Zainal Kling
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjur Kongres Maruah Melayu menegaskan bahawa penganjuran program itu pada 6 Oktober ini bertujuan menjawab persoalan berhubung kedudukan Melayu, Islam dan kebudayaan secara terbuka serta berilmiah.

Ketua Eksekutif Sekretariatnya, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, program tersebut juga bermatlamatkan perpaduan supaya rakyat berbilang kaum dapat hidup bersama sebagai warganegara Malaysia berdasarkan Perlembagaan dan bukannya takrifan politik.

“Mereka mesti menerima ini sebagai negara Malaysia dengan agama Islam sebagai rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu.

“Ini sepatutnya menjadi pegangan warga Malaysia bukan seperti apa yang dicanangkan oleh parti-parti politik tertentu bahawa Malaysia itu begitu begini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan empat universiti yang membentuk gabungan bagi menjayakan kongres tersebut.

"Kesemua universiti terlibat mempunyai pusat kajian kebudayaan dan masyarakat Melayu dan akan bekerjasama bagi menjawab persoalan berkaitan kedudukan agama, kebudayaan dan bangsa Melayu di negara ini.

“UiTM, misalnya, mempunyai Institut Pemikiran Melayu, UM mempunyai Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, UPSI mempunyai Institut Tamadun Melayu dan UPM juga mempunyai Muzium Warisan Melayu,” ujarnya.

Katanya, kesemua universiti terlibat akan mengendalikan perbincangan mengikut bidang kepakaran masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"UM akan mengendalikan isu berkaitan persoalan politik, UiTM akan mengendalikan isu ekonomi, UPSI mengendalikan isu berkait pendidikan dan UPM pula memfokuskan isu kebudayaan dan agama.

“Turut terlibat adalah Persatuan Peguam,” katanya.

Kongres yang akan diadakan pada Ahad minggu hadapan bertempat di Stadium Malawati Shah Alam itu dijangka turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tetamu undangan.