APMM tahan dua bot pukat kenka

Salah sebuah bot yang ditahan selepas didapati menangkap ikan secara berpasangan.
Salah sebuah bot yang ditahan selepas didapati menangkap ikan secara berpasangan.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Dua buah bot tempatan kelas B jenis pukat kenka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang selepas didapati menunda ikan secara berpasangan.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, dua bot berkenaan ditahan di perairan Tanjung Piandang, Perak ketika melakukan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan 4.7 batu nautika dari Barat Tanjung Piandang, pada jam 12.45 tengah hari tadi.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tiga lelaki warga tempatan berumur 41 hingga 54 tahun berada di atas kedua-dua bot terbabit.

"Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti kenka dua bot dengan pasangan bot yang tidak tercatat di dalam buku lesen dan bot tidak diusahakan sendiri.

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot tersebut menemui satu gulung pukat kenka dan tangkapan udang serta ketam kira-kira 1 kilogram. Kesemua yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Hamizan berkata, dalam tempoh seminggu sebelum ini pihaknya telah menahan empat bot kenka di perairan Tanjung Piandang atas kesalahan yang sama.

Katanya, APMM akan terus mempergiatkan pemantauan dan rondaan di perairan Pulau Pinang agar aktiviti menyalahi undang-undang di laut dapat dibanteras sebaiknya.

Artikel Berkaitan: