X

Kindly register in order to view this article
!

BN yakin peluang cerah di Tanjung Piai

Hasni (tengah) pada sidang media di Bangunan UMNO Johor hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) Johor menjangkakan kemenangan yang cerah mampu diperoleh bagi merebut kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Pengerusinya, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, perkara itu dilihat berdasarkan pertimbangan diambil daripada barisan kepimpinan parti yang mahukan semua aspek dititikberatkan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, sebarang keputusan masih diteliti sehingga kini termasuk membabitkan pilihan untuk meletakkan calon UMNO atau mengekalkan MCA di kawasan itu.

“Kita perlu mengambil kira semua aspek, kita masih ada masa untuk tingkatkan lagi peluang untuk menang di Tanjung Piai. Jadi kita rasa tidak perlu lagi untuk putuskan siapa akan menjadi calon atau parti mana akan bertanding.

“Mesyuarat juga telah memberi mandat kepada saya untuk mengambil langkah-langkah seterusnya merangka strategi yang lebih baik bagi BN dan juga UMNO,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor di sini hari ini.

Hasni berkata, meskipun belum menentukan siapa yang bakal bertanding bagi kerusi berkenaan, parti telah sebulat suara memberi garis panduan hanya akan meletakkan calon anak tempatan.

“Itu saya boleh sahkan, kita akan guna calon tempatan. (Kalau) calon luar, badan perhubungan (UMNO) pun tak setuju, mesti calon tempatan.

“Kita pun tidak bincang berhubung spekulasi calon luar itu tapi kita buat ketetapan, calon mestilah anak tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasni berkata, UMNO Johor juga sebulat suara menyatakan sokongan mereka untuk memilih Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Setiausaha Agung BN.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus