Pesuruhjaya Pas Perlis stabil, masih dirawat di CCU

Mohd Shukri
Mohd Shukri
A
A
A

KANGAR - Pas Perlis memohon seluruh rakyat mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Shukri Ramli yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Ketua Penerangan Pas Perlis, Dr Saifizi Saidon berkata, keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu dilaporkan stabil, namun masih diletakkan di bawah pengawasan rapi di CCU hospital berkenaan.

Pihaknya turut meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung keadaan kesihatan Mohd Shukri.

“Sebarang perkembangan terkini berhubung keadaan Mohd Shukri akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Semoga seluruh ahli keluarga beliau diberikan kekuatan oleh ALLAH SWT menghadapi ujian ini,” katanya.

Mohd Shukri rebah dipercayai akibat serangan jantung ketika berucap pada ceramah muafakat UMNO-Pas di Dewan 2020 malam semalam.

Dalam kejadian 10 malam itu, Mohd Shukri merupakan penceramah pertama ketika itu memberi kata-kata aluan memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas sebelum secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Mohd Shukri diberikan bantuan pernafasan oleh Unit Medik, Jabatan Amal Malaysia sebelum dibawa ke HTF untuk rawatan lanjut.

Ceramah itu turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man serta Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Idris Yaacob meminta seluruh peringkat parti menganjurkan solat hajat memohon kepada ALLAH SWT agar Mohd Shukri diberikan kesembuhan.

“Solat hajat sebaiknya dilakukan pada malam ini di semua tempat kuliah atau di markas parti, selain mohon munajat agar ALLAH SWT memelihara jemaah dari segala bentuk spekulasi yang tidak sewajarnya ketika berdepan ujian ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rebah ketika berucap Pesuruhjaya Pas Perlis stabil