Kes tembak: Polis rakam keterangan Naib Ketua Puteri UMNO

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan merakam kenyataan Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi yang mendakwa lelaki ditembak mati di sebuah kilang di Bayan Lepas Pulau Pinang menyerang majikannya kerana menghina Nabi Muhammad.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid semalam.

"Susulan itu kita telah memanggil Nurul Amal ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada pegawai yang menjalankan siasatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama tiga individu yang ditahan pada 26 September lalu kerana dipercayai memuat naik kenyataan berbaur perkauman di media sosial akan dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Kes di siasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam kejadian jam 4.45 petang 23 September lalu lelaki berusia 25 tahun yang bekerja di kilang terbabit mengamuk sebelum menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.

Penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang kerana parah di beberapa bahagian badan terutama di kepala manakala lelaki yang juga pengurus keselamatan berusia 53 tahun cedera tetapi berada dalam keadaan stabil.

Artikel Berkaitan: