Bekalan air pulih capai tahap 99 peratus

Abd Raof
Abd Raof
A
A
A

SHAH ALAM - Status pemulihan bekalan air berikutan pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih mencapai tahap 99 peratus sehingga jam 6 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, hanya wilayah Petaling dan Sepang masih dalam proses pemulihan bekalan.

Menurutnya, bekalan di kedua-dua daerah tersebut dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 petang ini.

"Bantuan lori air masih digerakkan dan khidmat setempat (PKS) beroperasi selama 24 jam sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

"Air Selangor mengambil langkah dan tindakan perlu bagi mempercepatkan proses pemulihan serta menyalurkan bantuan kepada pelanggan terjejas.

"Penduduk terjejas boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor atau laman sesawang www.airselangor.com untuk status semasa dan menyalurkan aduan serta bantuan diperlukan," katanya.

Kelmarin, sebanyak 372,031 akaun pelanggan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terlibat gangguan bekalan air susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pada jam 5 petang disebabkan insiden pencemaran itu.

Bagaimanapun LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi sepenuhnya pada jam 6.30 pagi semalam selepas lebih 13 jam arahan henti tugas dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian memaklumkan pencemaran bau seperti pelarut itu disyaki berpunca daripada pembuangan sisa yang tidak dibenarkan ke sistem pembentungan dan tidak dapat dirawat oleh loji kumbahan.