Mufti WP tersentuh sikap ayah Adib

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memuji sikap positif ayah anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid.

Menerusi ruangan Qalam Mufti yang dimuat naik di portal rasmi beliau, Zulkifli berkata, kenyataan Mohd Kassim sehari sebelum keputusan inkues Adib dikeluarkan benar-benar menyentuh perasaannya.

"Kami amat tersentuh dengan kenyataan bapa Mohd Adib sehari sebelum keputusan diumumkan," katanya.

Beliau turut memetik kenyataan Mohd Kassim yang berkata: "Apapun keputusan, saya dan keluarga perlu reda, namun harapan kami pastinya ingin melihat keadilan."

Tegasnya, kenyataan sedemikian membuktikan bapa Mohd Adib yang mewakili seluruh keluarganya memiliki pegangan agama yang kuat.

"Sebagai seorang mukmin, kita diminta beriman kepada qada dan qadar yang telah pun ditetapkan ALLAH, bersabar menerimanya dan sentiasa berbaik sangka dengan ketentuanNYA.

"Yakin dan percayalah, inilah sepatutnya menjadi pegangan dan sikap seorang mukmin sejati," katanya.

Justeru, beliau menyeru seluruh umat Islam di negara ini mencontohi sikap positif ditunjukkan ahli keluarga Allahyarham.

Artikel Berkaitan:

"Dengan keputusan yang telah dimaklumi, antara sikap kita yang sepatutnya adalah menghindari sebarang aksi dan tindakan yang menyalahi undang-undang, sebaliknya mematuhi keputusan dan peraturan yang ditetapkan.

"Elakkanlah daripada melakukan tindakan yang tidak wajar atau apa-apa kenyataan yang boleh membakar perasaan marah, tidak puas hati atau kebencian kepada mana-mana pihak sehingga boleh mencetuskan keadaan dan suasana yang tidak tenteram.

"Pihak berkuasa seperti PDRM dan mereka yang berautoriti diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk melaksanakan tugasan dengan sebaiknya," katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Koroner membuat dapatan bahawa Muhammad Adib Mohd Kassim dipukul oleh sekumpulan individu berketurunan India yang tidak dikenali ketika berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Allahyarham ketika itu bertugas untuk memadamkan kebakaran dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ, November tahun lalu.

Hakim Koroner, Rofiah Mohamad dalam keputusannya berkata, dapatan tersebut mengambil kira bahawa rusuhan tercetus akibat kemarahan kaum India terhadap pencerobohan kuil yang dilakukan sekumpulan Melayu beberapa hari sebelum itu.