Piala Malaysia: Lang Merah mara bergaya ke separuh akhir

Muhammad Farhan Roslan berjaya menjaringkan gol pertama Kedah pada perlawanan suku akhir ke-2, Piala Malaysia Kedah bertemu PKNP FC di Stadium Darul Aman malam ini. - Foto Bernama
Muhammad Farhan Roslan berjaya menjaringkan gol pertama Kedah pada perlawanan suku akhir ke-2, Piala Malaysia Kedah bertemu PKNP FC di Stadium Darul Aman malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANG Merah mara bergaya ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 6-2 selepas menewaskan PKNP 4-1 pada suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Skuad Aidil Sharin Sahak itu yang menang 2-1 pada aksi suku akhir pertama di Manjung pada Rabu terlebih dahulu diberikan tekanan pelawat pada awal permainan.

Namun Gol Farhan Roslan pada minit ke-24 meletakkan tuan rumah di hadapan 1-0 selepas pertahanan PKNP gagal mengeluarkan bola dari kawasan mereka.

Selang dua minit kemudian, Jonathan Bauman terus menyentap semangat pelawat dengan gol kedua hasil hantaran Farhan untuk kedudukan 2-0.

PKNP cuba bangkit untuk merapatkan jurang namun tendangan leret Giancarlo Rodrigues muda dibaca oleh penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Abdul Hamid pada minit ke-69.

Lang Merah terus menambah derita pelawat untuk gol ketiga pada minit ke-71 hasil tandukan David Rowley untuk kedudukan 3-0 selepas memanfaatkan sepakan sudut ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Bagaimanapun skuad Abu Bakar Fadzim tidak berputus asa apabila merapatkan kedudukan 3-1 menerusi Muhd Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-80.

Kedah yang diberi sokongan lebih 12,000 penyokong terus bersemangat dan mereka berjaya menambah jaringan pada minit ke-89 menerusi Muhd Fayahd Mohd Zulkifli hasil hantaran Fernando Ortega untuk kedudukan penuh 4-1.

Artikel Berkaitan: