X

Kindly register in order to view this article
!

Piala Cabaran: UKM FC tidak boleh pandang rendah JDT II

Sulaiman
A
A

KETUA Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang rendah keupayaan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi final Piala Cabaran yang menggunakan format timbal balik awal bulan depan.

Menurutnya, walaupun atas kertas JDT mempunyai kelebihan dengan dibarisi pemain import berkualiti dan beberapa bekas pemain kebangsaan, beliau tetap mengharapkan anak-anak buahnya dapat memberikan saingan sengit pada aksi final itu nanti.

"Semua orang pastinya menunggu perlawanan ini kerana JDT II adalah sebuah pasukan terbaik. Insya-ALLAH kita akan buat yang terbaik walaupun JDT II adalah pasukan pilihan pada perlawanan akhir nanti.

"Kami amat teruja kerana sekali lagi berpeluang untuk mendakap trofi Piala Cabaran buat julung kalinya setelah tewas dengan keputusan agregat 2-4 kepada Terengganu FC II pada aksi final edisi sulung Piala Cabaran pada musim lepas," katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, UKM FC mara ke pentas final dengan agregat 7-1 selepas mudah menewaskan Sarawak 6-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Sarawak, Mohd Denny Da’ail mengakui kekurangan persediaan skuad Bujang Senang dalam menjalani latihan akibat masalah jerebu menjadi salah satu faktor kepada kekalahan mereka.

"Kita memang tiada persediaan rapi sebelum aksi separuh akhir pertama kerana cuaca jerebu dan kita boleh lihat pada perlawanan ini, pemain dilihat agak kurang cergas," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus