Foodpanda perkenal skim baharu mulai esok

A
A
A

SELEPAS penghantar makanan mengancam untuk mogok secara besar-besaran, syarikat penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda umum skim pembayaran baharu berkuat kuasa esok.

Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, skim pembayaran baharu itu akan menyediakan fleksibiliti kepada mereka untuk memilih bila dan di mana mereka mahu bekerja.

"Sistem ini memastikan bahawa penghantar makanan yang mahu bekerja lebih akan menerima kuantiti penghantaran tinggi disediakan kepada mereka dan sebaliknya.

"Oleh kerana penghantar makanan bekerja dengan Foodpanda secara bebas, skim yang disemak semula itu akan membolehkan mereka memperoleh lebih banyak pendapatan berasaskan kepada pesanan yang mereka terima,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, Foodpanda juga akan menaikkan kadar bagi setiap pesanan yang dihantar oleh penghantar makanan.

"Sebagai contoh, seorang penghantar makanan yang sebelum ini menerima RM5 bagi setiap pesanan kini akan menerima RM7.

"Penghantar makanan juga diberi insentif dengan bonus RM100 selepas menyelesaikan 60 jam bekerja seminggu.

"Di samping itu mereka juga menerima tambahan RM1 bagi setiap pesanan antara jam 11 malam hingga 9 pagi setiap hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sayantan berkata, penghantar makanan juga akan menerima bonus tambahan antara 30 September dan 6 Oktober apabila mereka menyelesaikan penghantaran minimum 80 pesanan semasa tempoh tersebut.

Foodpanda kini mempunyai lebih 12,000 penghantar makanan bebas di seluruh negara.

Pengumuman itu dibuat selepas pekerja syarikat penghantaran makanan dalam talian di luar Lembah Klang merancang melancarkan mogok esok berikutan skim pembayaran baharu yang diperkenalkan sebelum ini didakwa mengurangkan pendapatan mereka.

Sebelum ini, penghantar makanan Foodpanda dibayar RM4 sejam dan mendapat bayaran tambahan bagi setiap pesanan manakala bayaran pesanan adalah di antara RM3 hingga RM5 berdasarkan prestasi penunggang.

Menerusi skim pembayaran baharu itu, Foodpanda menghapuskan bayaran setiap jam dengan meningkatkan bayaran setiap pesanan antara RM4.50 hingga RM7.