DBKL sedia 27 unit PPR untuk anggota polis

Sebanyak 27 unit kediaman di 15 PPR disediakan untuk anggota polis dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di kawasan tersebut.
Sebanyak 27 unit kediaman di 15 PPR disediakan untuk anggota polis dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di kawasan tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan 27 unit kediaman di 15 Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk anggota Polis Diraja Malaysia dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di kawasan tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tindakan DBKL itu dapat meningkatkan keselamatan, kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat setempat.

"Pada fasa pertama, sebanyak 27 unit kediaman diserahkan oleh DBKL antaranya PPR Seri Selangor, Seri Alam, Seri Sabah, Bukit Jalil, Desa Tun Razak, Seri Pantai, Pantai Ria, Gombak Setia, Seri Semarak, Desa Rejang, Air Panas, Wahyu, Beringin, Intan Baiduri dan Kampung Batu Muda," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Inisiatif Wilayah Peduli Program Komuniti Sejahtera di PPR Desa Rejang di sini semalam.

Mazlan berkata, sebarang maklumat dapat disalurkan segera kepada pegawai atau anggota polis yang mendiami kawasan perumahan itu.

"Kita juga dapat mengesan sebarang jenayah yang berlaku di persekitaran kawasan tersebut dengan pantas," katanya.

Beliau berkata, statistik jenayah di kawasan PPR dan Projek Perumahan Awam (PPA) Kuala Lumpur bagi 1 Januari hingga 26 September merekodkan sebanyak 494 kes di PPR dan 42 kes di PPA.

"Statistik ini menunjukkan jenayah harta benda adalah sebanyak 425 kes di PPR dan 40 kes di PPA. Jenayah kekerasan pula sebanyak 69 kes di PPR dan dua di PPA," katanya.

Mazlan berkata, bagi statistik kes atau tangkapan kes narkotik di PPR Kuala Lumpur dari tempoh Januari hingga Ogos 2019 mencatatkan sebanyak 844 kes dan 1,001 tangkapan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kesalahan yang membabitkan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 mencatatkan jumlah kes yang tertinggi iaitu sebanyak 257 dan 271," katanya.