523 kes ditipu scammer dari Januari-November 2018

Macau Scam
A
A

KUANTAN - Sebanyak 523 kes penipuan ‘scammer’ dilaporkan di negeri ini sepanjang Januari hingga November tahun lalu melibatkan kerugian lebih RM8.5 juta.

Ketua Jabatan Siasatan jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, ia melibatkan penipuan Macau Scam, Love Scam dan tawaran pinjaman tidak wujud.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya apabila mencatatkan 428 kes dengan nilai kerugian lebih RM5.6 juta.

“Daripada keseluruhan kes dilaporkan, polis berjaya menahan 224 individu terlibat tahun lalu dan hanya 119 tngkapan pada 2017.

“Mengikut pecahan daripada kes dilaporkan pada tempoh itu pada 2018, 265 kes melibatkan penipuan pinjaman tidak wujud dengan nilai kerugian RM2.18 juta manakala pada 2017, 254 kes diterima dengan nilai kerugian RM1.3 juta,” katanya.

Mohd Wazir berkata, bagi penipuan pinjaman tidak wujud itu, sebanyak 67 tangkapan dibuat pada 2018 dan 27 tangkapan pada 2017.

Sementara itu katanya, bagi kes Love Scam, sebanyak 95 kes diterima tahun lalu dengan nilai kerugian RMRM1.46 juta.

“Jika dibandingkan dengan 2017, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 24 kes atau 33.8 peratus namun jumlah kerugian dihadapi mangsa menurun sebanyak RM298,642 apabila RM1.76 juta dicatatkan pada tahun 2017.

"Bagi kes ini, sebanyak 59 tangkapan dibuat tahun lalu dan 33 tangkapan pada tahun sebelumnya manakala mangsa tertinggi berusia dalam lingkungan 41 hingga 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes Macau Scam, sebanyak 163 kes dilaporkan dalam tempoh itu tahun lalu melibatkan kerugian RM4.9 juta.

“Ia juga meningkat berbanding 2017 apabila 103 kes dilaporkan dengan nilai kerugian RM2.54 juta.

“Bagi kes ini, 98 tangkapan dibuat pada 2018 dan 103 tangkapan pada 2017,” katanya.

Mohd Wazir berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih peka dan tidak mudah terpedaya dengan modus operandi sindiket penipuan ini bagi mengelak menjadi mangsa.

“Bagi kes tawaran pinjaman tidak wujud, biasanya suspek menawarkan pinjaman mudah melalui media sosial seperti Facebook sebelum meminta mangsa menjelaskan sejumlah bayaran bagi tujuan proses dan sebagainya.

“Dalam beberapa kes, mangsa terpedaya hingga membuat pembayaran pendahuluan melebihi jumlah pinjaman yang dibuat,”katanya.

Beliau berkata, ramai juga yang tertipu dengan helah penipuan Love Scam daripada kenalan maya yang mengunakan tawaran hadiah atau bungkusan berharga sebagai tanda persahabatan sedangkan ia tidak wujud.

“Sebaliknya mangsa ditipu sehingga sanggup membayar jumlah wang yang besar untuk mendapatkannya termasuk bayaran cukai atau denda kepada ‘pihak penguat kuasa’ kerana hadiah yang dikatakan dihantar itu berdepan masalah untuk proses tuntutan.

“Seperti biasa, bagi kes Macau Scam, sindiket bergerak melalui panggilan telefon menyamar sebagai pegawai agensi penguatkuasa untuk memerangkap mangsa dengan helah tunggakan pinjaman bank dan nama dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah,”katanya.

Beliau berkata, mangsa yang panik diarah memindahkan wang ke akaun bank disediakan kononnya bagi menyelesaikan kes.

“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila wang lesap dan kes yang dikatakan itu tidak berlaku,” katanya.