Sabah iktiraf UEC sebagai syarat masuk IPTA, perkhidmatan awam negeri

Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan untuk kita kira bukan hanya masuk universiti tetapi masuk perkhidmatan awam negeri Sabah.

“Kerajaan negeri telah mengiktiraf UEC di Sabah. Kami telah buat keputusan mengiktiraf sijil ini," katanya ketika berucap pada sambutan Festival Kuih Bulan di Lintas Square di sini malam tadi.

Mengulas lanjut perkara itu menerusi kenyataan media, Mohd Shafie berkata, di Sabah terdapat sembilan sekolah atau institusi pengajian yang menawarkan UEC.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 1,153 pelajar di peringkat rendah dan 583 di peringkat tinggi dan mereka menduduki dua peperiksaan.

"Saya juga gembira bahawa daripada jumlah ini, 83 adalah bumiputera.

"Untuk calon-calon Sabah yang menduduki peperiksaan Junior UEC, mereka perlu mengambil peperiksaan PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) dan bagi calon peperiksaan Senior UEC, mereka perlu menduduki SPM ( Sijil Pelajaran Malaysia)," katanya.

Mohd Shafie berkata, Jabatan Pendidikan Sabah menyokong keputusan mengiktiraf UEC tetapi sebagai syarat untuk memasuki institusi pengajian tinggi seseorang itu juga mesti mendapat kredit dalam Bahasa Melayu SPM, lulus subjek Sejarah SPM dan lulus peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri juga bersetuju pemegang sijil UEC yang mahu dilantik dalam perkhidmatan awam memerlukan kelayakan seperti yang ditetapkan di bawah peraturan jabatan itu.

Pada masa sama, katanya, mereka juga mesti mempunyai kelayakan minimum SPM yang diperlukan atau apa sahaja kelayakan yang ditetapkan kerajaan Sabah. - Bernama