X

Kindly register in order to view this article
!

'Tugas peguam sudah selesai'

Syazlin Mansor
A
A

SHAH ALAM - Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menangkap pelaku yang terlibat dalam kematian anggota bomba berkenaan.

Peguam keluarga, Syazlin Mansor berkata, peranan pasukan peguam yang terlibat dengan inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib sudah selesai sebaik keputusan itu dibacakan di Mahkamah Koroner kelmarin.

“Bagi keluarga Allahyarham Muhammad Adib dan peguam sudah tidak ada apa-apa lagi memandangkan keputusan inkues sudah diketahui.

“Jadi peringkat seterusnya adalah tugas pihak berkuasa untuk teruskan siasatan sebagaimana yang dikatakan oleh Hakim Koroner, Rofiah Mohamad untuk mendakwa mana-mana individu yang terbabit,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Sementara itu, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid berkata, beliau menyerahkan kepada peguam mereka untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan dan menyokong kami,” katanya.

Kelmarin Sinar Harian melaporkan Mahkamah Koroner membuat keputusan bahawa kematian Muhammad Adib adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Koroner Rofiah berkata, kecederaan blunt chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan Allahyarham telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS). Beliau merumuskan bahawa kecederaan blunt chest trauma yang dialami Allahyarham Muhammad Adib adalah bukan perbuatan diri.

Allahyarham Muhammad Adib parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

Dalam pada itu, tular kisah Syazlin dan suaminya, Ahmad Soffian Sheriff yang menjadi watak utama dalam memperjuangkan kes Allahyarham Muhammad Adib di media sosial.

Kisah pasangan itu ditulis oleh pengguna Facebook bernama Aidil Khalid yang telah dikongsikan oleh 18,000 pengguna dengan menceritakan liku-liku yang telah dihadapi mereka berdua demi memperjuangkan kebenaran.

“Syazlin membawa kes Adib ini secara pro-bono iaitu secara percuma. Beliau tidak caj walau satu sen pun sama ada daripada keluarga arwah Muhammad Adib, mahupun dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta bomba ketika mewakili semua pihak ini. Segala perbelanjaan dan kos guaman keluar daripada poket beliau sendiri.

“Melalui Syazlin lah maka saksi-saksi pakar Prof Dr Shahrom Abd Wahid dan Dr Amir Radzi Ab Ghani dipanggil memberikan keterangan di mahkamah di mana Hakim Koroner pada hari ini (kelmarin) telah memutuskan keterangan pakar tersebut sebagai autoritatif. Kesemuanya memberikan keterangan secara suka rela tanpa mengenakan sebarang caj,” katanya.

Jelasnya, sewaktu inkues berlangsung, Soffian yang ketika itu merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sanggup melepaskan jawatan untuk memastikan isterinya dapat meneruskan perjuangan mencari kebenaran pada prosiding tersebut.

“Ini bagi memastikan supaya tidak berlaku masalah kelak untuk Syazlin mengambil pendirian bertentangan daripada arahan atasan orang-orang politik yang tidak jujur. Sedangkan pada waktu itu Soffian memegang jawatan yang kanan di pejabat menteri dengan gaji dan kelebihan yang enak dan lunak.

“Kita harus menghargai para profesional seperti Syazlin, Soffian, Prof Dr Shahrom dan Dr Amir Radzi yang sanggup berkorban demi memperjuangkan secebis kebenaran,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Cari pembunuh Adib, jangan sia-siakan kematiannya!

Mahkamah putuskan Adib dipukul sekumpulan lelaki