Taklimat bersama jentera PH diadakan esok

No Image Caption
A
A
A

KLUANG - Pakatan Harapan (PH) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai termasuk mengadakan beberapa mesyuarat dan memperkemaskan logistik.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau dan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal juga akan mengadakan taklimat bersama jentera PH di Pontian esok bagi melancarkan PRK berkenaan.

"Rakan-rakan di dalam PH hari ini sudah mula menggerakkan usaha dengan memastikan pusat dan pejabat-pejabat pilihan raya sudah dibuka. Kita (PH) sedang tunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (pengumuman tarikh penamaan calon dan hari mengundi).

"Dari segi persediaan sama ada mesyuarat dan logistik, sedang diperkemas. Saya sudah memimpin mesyuarat minggu lepas di Tanjung Piai dan sekarang hampir setiap malam kita ada mesyuarat di unit-unit peti undi untuk mereka (jentera) siapkan apa yang penting," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan baka baharu kambing dan merasmikan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Ternakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), di sini hari ini.

Kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai berlaku berikutan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Mh Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Hospital Pontian, Johor, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Allahyarham, yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: BN umum calon selepas runding parti komponen, Pas

Artikel Berkaitan:

PRK Tanjung Piai uji 'perkahwinan' UMNO-Pas